Rabu, 26 Disember 2012

Pesawat Terhempas

Anggota bomba memadamkan saki baki api yang membakar pesawat berkenaan

YANGON – Sebuah pesawat penumpang syarikat penerbangan Air Bagan yang membawa ramai pelancong asing terhempas dan terbakar menyebabkan dua orang terbunuh serta mencederakan 11 yang lain di negeri Shan, timur Myanmar, kata beberapa pegawai semalam.

Pesawat Fokker-100 itu terhempas ketika ia cuba mendarat di sebuah kawasan sawah padi berhampiran sebuah lapangan terbang di Heho semasa cuaca berkabus.

Menurut Kementerian Penerangan, mangsa yang terbunuh merupakan seorang kanak-kanak Myanmar berusia 11 tahun dan seorang penunggang motosikal.

Seramai 63 orang menaiki pesawat itu termasuk 51 warga asing dan enam kru. Pesawat itu dalam penerbangan dari Yangon ke Mandalay. Pesawat itu putus pada bahagian ekor dan terbakar, menurut kementerian berkenaan.

Semua mangsa yang cedera dihantar ke hospital.

Menurut seorang jurucakap syarikat tersebut, Ye Min Oo, hanya juruterbang yang mengetahui punca nahas itu.

Dia berkata, pihaknya masih belum menghubungi dua juruterbang tersebut bagi mengetahui punca sebenar nahas kerana mereka telah dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

Pesawat model Fokker itu tidak lagi dikeluarkan.

Syarikat itu dimiliki oleh taikun Tay Za yang disenarai hitam oleh Amerika Syarikat (AS) kerana aktivitinya dengan bekas ketua rejim tentera Myanmar, Than Shwe.

Kepimpinan Shwe sebagai ketua negara dikritik kerana keganasan dan pelanggaran hak asasi manusia. Beliau meletakkan jawatan sebagai ketua negara Myanmar pada tahun lalu. – Agensi


Tiada ulasan:

Catat Ulasan