Khamis, 20 Disember 2012

Suami Hampir Putus Telinga

Keadaan telinga dan bahu mangsa selepas dirawat akibat serangan tersebut

KUCHING: Seorang suami hampir terputus cuping telinga kirinya petang kelmarin, akibat ditetak seorang lelaki yang sebelum itu telah mengganggu isterinya.

Ekoran itu, mangsa yang berusia 27 tahun berasal dari Kampung Tabuan Foochow terpaksa dikejarkan ke Hospital Umum Sarawak (HUS) dan menerima beberapa jahitan pada cuping telingga serta bahunya yang turut tercedera.

Isteri mangsa yang enggan dikenali berkata, semasa kejadian dia dan suaminya bekerja seperti biasa di sebuah kedai menjual peralatan memancing di pusat bandar raya sekitar jam 12 tengah hari.

Menurutnya, semasa dia sedang sibuk mengemas bahagian luar kedai tersebut, sebuah lori telah berhenti di tepi kedai, di mana suspek yang dipercayai kelindan lori tersebut mula mengganggunya.

“Suami saya berada di dalam kedai masa itu tetapi kerana risau akan keadaan saya, dia pun keluar menyebabkan lelaki (suspek) itu seakan marah lalu mencabar suami saya sehingga berlaku pertelingkahan di antara mereka sebelum lelaki (suspek) beredar,”katanya.

Dia berkata demikian kepada pemberita ketika mengiringi suaminya membuat laporan polis berhubung kejadian di Balai Polis Simpang Tiga malam kelmarin.

Tambahnya lagi, keadaan lebih teruk lagi apabila suspek yang tidak berpuas hati datang kembali ke kedai tersebut sekitar jam 2 petang.

“Dia menggunakan topi keledar semasa kejadian menyebabkan kami lambat menyedari kehadirannya sehingga dia yang bersenjatakan pisau pemotong daging terus bertindak menetak bahagian kiri kepala suami saya.

“Akibatnya, cuping telingga suami saya hampir terputus terkena pisau tersebut selain bahunya turut tercedera dan terpaksa dijahit,”katanya sambil menambah suspek berjaya melarikan diri selepas serangan tersebut.

Mangsa kemudian telah dikejarkan ke HUS dan dibenarkan pulang sejurus menerima rawatan. Siasatan polis berhubung kejadian masih dijalankan. - UTUSAN BORNEO


Tiada ulasan:

Catat Ulasan