Gambar Hiasan
MIRI: Berikutan kejadian serangan buaya membabit murid Tahun Lima di Suai Niah kelmarin, ibu bapa yang tinggal tebing-tebing sungai diingatkan supaya melarang anak-anak mereka daripada bermain atau mandi di sungai.
Pegawai Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Miri Leftenan Muda Madihi Habib berkata kejadian terbaharu kelmarin harus dijadikan iktibar kepada ibu bapa supaya sentiasa mengawasi anak-anak mereka ketika musim cuti sekolah.
“Kita sentiasa mengingatkan ibu bapa atau mereka yang tinggal di tebing-tebing sungai supaya mengawasi aktiviti anak-anak mereka kerana reptilia itu menyerang tidak mengira masa dan tempat,” katanya ketika dihubungi semalam.
Madihi memberitahu, ibu bapa tidak seharusnya mengambil risiko membenarkan anak-anak mereka mandi atau bermain dengan air sungai berikutan ia boleh menarik perhatian reptilia itu untuk menyerang manusia.
Sementara itu, dalam kejadian pagi kelmarin, mangsa Jerry Apat Angsa dipercayai mandi bersama rakannya di sungai Kampung Iran sebelum mangsa dipercayai tenggelam akibat ditarik sesuatu ke dasar sungai.
Mayat Jerry Apat Angsa ditemui anggota JPAM Miri kira-kira empat kilometer dari tempat mangsa dipercayai mandi sungai dan telah dihantar ke Hospital Miri lewat petang kelmarin untuk bedah siasat.
Operasi mencari dan menyelamat mangsa dilakukan oleh JPAM, polis dan penduduk kampung berhampiran yang gempar dengan kejadian itu kelmarin.
Mengulas lanjut mengenai serangan buaya terbabit, Madihi mengingatkan semua penduduk supaya sentiasa berhati-hati termasuk mengelak daripada mandi di sungai khasnya ketika musim tengkujuh.
“Jangan mengambil kesempatan untuk mandi sungai ketika air pasang besar kerana kita bimbang tindakan mereka akan menyebabkan mereka terdedah untuk menjadi mangsa serangan buaya seterusnya,” tegasnya.
Pada masa sama, musim tengkujuh disusuli air pasang besar kemungkinan akan memberi ruang dan peluang kepada reptilia itu untuk mendekati seterusnya menyerang manusia.
Sehubungan itu katanya, penduduk di kawasan terbabit dinasihatkan supaya mengawasi anak-anak dan ahli keluarga terutamanya pada sebelah petang kerana reptilia itu sangat aktif pada waktu terbabit.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan