Sabtu, 22 Disember 2012

Warga Miri Kesal Dengan Isu Pengemis

Kelihatan seorang pengemis yang sedang nyenyak tidur di kaki lima sebuah kedai di Miri

MIRI: Gelagat segelintir pengemis dan golongan gelandangan di bandar raya ini amat dikesali oleh warganya. Tinjauan di beberapa kawasan sekitar Miri mendapati golongan berkenaan sememangnya masih wujud.

Beberapa responden di sini rata-rata tidak senang dengan kehadiran golongan tersebut yang tidak segan silu meminta sedekah daripada orang ramai.

“Saya didatangi (pengemis) ketika sedang menikmati makanan, sememangnya rasa tidak selesa,” kata salah seorang pelanggan di sebuah restoran yang enggan namanya disiarkan. Menurutnya, Miri yang sudah bertaraf bandar raya tidak seharusnya dicemari dengan perkara berkenaan.

“Seharusnya tidak terjadi seperti ini, malu kita terhadap pelancong yang datang dan melihatnya,” jelasnya.

Seorang lagi pelanggan kedai makan yang juga enggan namanya disiarkan berkata, perkara tersebut amat menjengkelkan bagi dirinya.

“Apa tidak marah, kita lihat badan sihat dan masih kelihatan mampu bekerja tetapi minta sedekah.

“Ada sesetengahnya pula berbau minuman keras ketika meminta wang belas ihsan daripada orang ramai,” ujarnya.

Justeru, kedua-duanya menggesa pihak bertanggungjawab agar memantau dan mencari jalan penyelesaian dalam perkara berkenaan.

“Masalah ini harus diselesaikan segera, jika tidak ia mungkin akan berlarutan dan lebih teruk,” tambahnya.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan