Keadaan 4WD jenis Mitsubishi Storm yang terbalik
MARANG – Dua sahabat maut apabila kenderaan pacuan empat roda (4WD) yang mereka naiki terbabas sebelum merempuh dua batang tiang elektrik dan sebuah pondok menunggu bas di Kilometer 52 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan semalam.
Kejadian pukul 7.15 pagi itu mengakibatkan pemandu 4WD jenis Mitsubishi Storm, Jamiluddin Zaiton, 28, dan penumpang depan, Shahrul Nazim Mohd. Azmi, 19, maut akibat kecederaan parah di kepala.
Difahamkan, dua sahabat itu dalam perjalanan ke Kuala Terengganu dari Dungun sebelum kenderaan itu terbabas ke kanan jalan berhampiran Sekolah Kebangsaan Jambu Bongkok dekat sini.
Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Ahmad Mazlan Yahya memberitahu, ekoran kemalangan itu, kenderaan dinaiki dua sahabat itu terbabas kira-kira 30 meter sebelum terbalik.
“Kita terpaksa mendapatkan bantuan bomba kerana mayat kedua-dua mangsa tersepit di tempat duduk masing-masing. Mereka mati akibat cedera parah di kepala,” katanya ketika dihubungi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan