Selasa, 21 Mei 2013

Belon Udara Panas Terhempas

Belon udara panas yang dinaiki seorang pelancong Brazil terhempas

ISTANBUL - Seorang pelancong Brazil meninggal dunia semalam manakala 24 mangsa lain cedera apabila sebuah belon udara panas yang mereka naiki terhempas di sebuah kawasan indah di Turki, kata beberapa pegawai. Nahas itu berlaku di Cappadocia yang terkenal dengan pemandangan batu-batu.

Gabenor Nevsehir, Abdurrahman Savas berkata, belon udara panas yang dinaiki pelancong tersebut berlanggar dengan belon lain di udara dan terhempas ke tanah.

Menurut Savas, kebanyakan mereka yang cedera mengalami patah tulang dan seorang lagi mangsa berada dalam keadaan kritikal.

Aktiviti menaiki belon udara panas semakin popular di Turki terutama sekali di wilayah Cappadocia.

Nahas di Cappadocia itu berlaku tiga bulan selepas satu lagi kejadian belon udara panas meletup berlaku di Luxor, Mesir dengan mengorbankan 19 orang pada 26 Februari lalu. - AFP

Sindiket Bomoh Warga China Tumpas

Barangan kemas, pasport, wang tunai yang dirampas

IPOH: Sindiket ‘bomoh’ dari kalangan warga China yang dipercayai terlibat dalam 23 kes penipuan di negeri ini melibatkan kerugian RM1 juta tumpas.

Ketua Polis Perak Datuk Mohd Shukri Dahlan berkata mereka yang terdiri daripada empat wanita dan seorang lelaki berumur antara 45 hingga 51 tahun ditahan di sebuah bilik hotel di Kulim, Kedah pada Jumaat lepas.

“Dalam serbuan pada jam 3.30 pagi itu polis merampas wang tunai dan barang kemas yang diserahkan mangsa kepada mereka antaranya wang tunai sebanyak RM3,270, enam utas gelang, 14 bentuk cincin dan dua rantai leher,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak di sini semalam.

Beliau berkata, sindiket itu yang bergiat aktif sejak tiga tahun lepas dipercayai menawarkan perkhidmatan membuang malang atau nasib buruk.

Kes terbaru dilapor berlaku di Pekan Langkap, Hilir Perak pada 23 April lepas.

Mohd Shukri berkata, tiga daripada suspek baharu pertama kali masuk ke negara ini sementara yang lain memasuki lebih daripada sekali.

Kesemua mereka direman untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan. — Bernama


Semua Ada Disini!! Jom Klik!!













Kes Bunuh Eksekutif TV9 Disebut Semula 26 Jun Ini

Norazman Bashah

SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi di sini semalam menetapkan 26 Jun ini untuk sebutan semula kes bekas eksekutif bahagian teknologi maklumat syarikat gas dan minyak yang didakwa membunuh isterinya, eksekutif pentadbiran stesen televisyen TV9, Nur Syaleza Jaffar, tahun lepas.

Hakim Datuk Ahmadi Asnawi menetapkan tarikh itu di dalam kamarnya selepas pihak pembelaan belum menerima laporan bedah siasat daripada pihak pendakwaan.

Peguam Shah Rizal Abdul Manan, yang mewakili tertuduh, Norazman Bashah Ahmad Azam Bashah, ketika ditemui pemberita di luar mahkamah, berkata laporan itu dijangka akan diterima minggu ini.

“Selepas itu, saya akan menghantar representasi kepada pihak Jabatan Peguam Negara bagi mengkaji semula pertuduhan ke atas anak guam saya,” katanya.

Norazman Bashah, 32, didakwa membunuh Nur Syaleza, 31, di kediaman mereka di No.115, Tingkat 1 Blok O, Apartment Saujana, Jalan PJU 10/1C, Damansara Damai, Petaling Jaya, antara jam 12 tengah hari hingga 7.30 malam, 28 Julai tahun lepas.

Wanita China Antara Yang Ditahan Terbabit Kes Samun Bersenjata

Bahan bukti

IPOH: Seorang wanita warga China adalah antara tujuh individu yang ditahan selepas dipercayai terlibat dalam kes samun bersenjata di sebuah restoran makanan laut di Kampung Acheh, Sitiawan dekat Manjung pada 15 Mei lepas.

Dua pucuk senjata api iaitu sepucuk pistol model Stayr Mannlicher Austria dan sepucuk revolver Ruger Speed-Six .38 Special serta 103 butir peluru. 38 dan 27 butir peluru 9 mm turut dirampas daripada mereka.

Ketua Polis Perak Datuk Mohd Shukri Dahlan berkata kesemua mereka yang berumur antara 21 hingga 38 tahun ditahan di sebuah hotel di Pantai Remis, Manjung dalam tempoh 24 jam selepas kejadian.

“Kira-kira jam 1.30 pagi, tiga lelaki bersenjatakan dua pucuk pistol menyamun pemilik restoran yang berumur 49 tahun dan enam pelanggannya.

“Suspek merampas wang tunai kira-kira RM20,000 dan pelbagai telefon bimbit selain melarikan sebuah kereta jenis Kia Sephia milik pemilik restoran itu.

“Sebelum melarikan diri, seorang daripada suspek melepaskan dua das tembakan ke arah CCTV (kamera litar tertutup). Bagaimanapun kesemua mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak semalam.

Mohd Shukri berkata ekoran tindakan pantas anggota Ibu Pejabat Polis Daerah Manjung, serbuan kemudian dilakukan di hotel terbabit dan berjaya menahan tujuh suspek serta merampas barangan yang disamun.

“Antaranya adalah wang tunai lebih kurang RM24,400, sembilan telefon bimbit, tiga jam tangan, dua kamera, barang kemas, dokumen peribadi mangsa dan dua kenderaan termasuk kereta pemilik restoran itu,” katanya.

Beliau berkata, kumpulan itu turut dipercayai terlibat dalam dua kes pada 13 Mei lepas iaitu kes samun bersenjata di Bagan Serai dan kes tembak di Kuala Kurau.

Sehubungan itu polis membuka tiga kertas siasatan melibatkan kesalahan melepaskan senjata api secara haram, memiliki senjata api secara haram dan memiliki peluru tanpa permit, katanya.

Mohd Shukri berkata tiga daripada suspek mempunyai rekod lampau bersabit kes ugut, tembak, bunuh, perintah tahanan dan dadah.

Kesemua suspek ditahan reman sehingga hari ini. - Bernama

Dalang Pencerobohan Lahad Datu Tidak Akan Didedah Elak Prejudis


KUALA LUMPUR: Tiga pemimpin pembangkang yang didakwa terlibat dalam insiden pencerobohan bersenjata di Lahad Datu, Sabah tidak akan didedahkan untuk mengelakkan prasangka atau prejudis apabila kes itu dibawa ke mahkamah, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Katanya semua dokumen dan maklumat terperinci yang telah diperoleh akan diser­ahkan kepada Pejabat Peguam Negara untuk mengambil tindakan terhadap individu terbabit.

“Semua dokumen dan maklumat terperinci telah diperoleh dan penelitian dari segi undang-undang untuk kuatkan hujah di mahkamah sedang diteliti kami iaitu Polis Diraja Malaysia dan Kementerian Pertahanan akan adakan mesyuarat dengan pihak peguam negara untuk serahkan dokumen tersebut untuk tindakan selanjutnya.

“Saya tidak berhajat untuk menamakan individu terlibat iaitu dua dari Semenanjung (Malaysia) dan seorang dari Sabah sebab saya tidak mahu berlakunya satu keadaan prasangka atau prejudis bila kes ini dibawa ke mahkamah,” katanya pada sidang media selepas melakukan lawatan kerja pertama ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini, semalam.

Turut hadir, Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar, Ketua Setiausaha Kemente­rian Dalam Negeri Datuk Seri Abdul Rahim Mohamad Radzi dan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Beliau mengulas kenyataan bekas Ketua Menteri Sabah Yong Teck Lee semalam, yang mendesak agar tiga pemimpin pembangkang yang didakwa terlibat dalam insiden pencerobohan di Lahad Datu, didedahkan.

Sebelum ini, Ahmad Zahid ketika menjadi Menteri Per­tahanan berkata kementerian­nya telah mengenal pasti tiga pemimpin pembangkang yang menjadi dalang kepada insiden pencerobohan kumpulan bersenjata di Lahad Datu, Sabah.

Ahmad Zahid juga se­belum ini dipetik sebagai berkata, masa yang terbaik untuk mendedahkan dalang tersebut adalah selepas pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) kerana jika pendedahan dibuat sebelum PRU13, ia seolah-olah mempunyai tujuan poli­tik. - Bernama

Lelaki Ugut Ibu Kandung Dipenjara Seminggu

Gambar Hiasan

MIRI: Gara-gara mengugut ibu kandungnya, seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara seminggu oleh Mahkamah Majistret, di sini pagi semalam.

Hukuman itu dijatuhkan oleh Penolong Kanan Pendaftar Mohd Redza Azhar Rezali setelah menimbangkan beberapa aspek termasuk pengakuan salah dan rayuan tertuduh, keterangan fakta kes, berat kesalahan yang dilakukannya serta mengambil kira kepentingan awam.

Mohd Izal Jamaludin, 27, dari Piasau Utara telah didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Berdasarkan pertuduhan kes, tertuduh didapati telah melakukan ugutan jenayah terhadap ibunya, Norsiah Bahrin dengan mengeluarkan kata-kata ‘Kau ingat aku takut mahu pecahkan kepala kau’ sambil mengambil sekeping papan dengan niat hendak menakutkan mangsa.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 3 pagi, pada 14 Mei lalu di sebuah rumah di Piasau Utara, di sini.

Pendakwaan dilakukan Inspektor Norliza Abdullah.


Bunuh: Wanita Dan Abang Dicari Polis

Superitendan Shamsudin Mat

LAHAD DATU: Polis sedang giat menjejaki seorang wanita dan abang kandungnya kerana dipercayai terlibat dalam kes bunuh seorang buruh ladang warga asing yang juga merupakan suami kepada wanita itu, di sini, pada Sabtu lalu.

Dalam kejadian kira-kira 2 petang itu, mangsa Saidy Gira, 48, bekerja sebagai buruh di sebuah ladang di Tungku itu, telah ditemui mati di rumah kongsinya oleh salah seorang pekerja ladang di situ yang kemudian bertindak memaklumkan kejadian itu kepada penyelianya sebelum satu laporan polis dibuat sejurus selepas itu.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Superitendan Shamsudin Mat berkata pihaknya yang bergegas ke lokasi kejadian telah menemui mayat mangsa dalam keadaan berlumuran darah dan terdapat kesan kelar di lehernya.

“Kita juga telah merampas sebilah parang tidak jauh dari mayat mangsa ditemui. Bagaimanapun, isteri dan ipar mangsa telah melarikan diri selepas kejadian itu dan usaha bagi menjejaki kedua-dua suspek ini sedang giat dijalankan,” katanya di sini, kelmarin.

Sementara itu kata Shamsudin, siasatan lanjut mengenai punca dan motif pembunuhan masih diteruskan

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan mayat mangsa juga telah dihantar ke Hospital Lahad Datu untuk bedah siasat,” katanya.

Lelaki Jadi Mangsa Sekumpulan Perompak

Gambar Hiasan

KUCHING: Seorang lelaki yang bekerja sebagai pengawal keselamatan menjadi mangsa sekumpulan perompak pada awal pagi semalam di Kampung Semariang, di sini.

Lelaki berusia 18 tahun dari Kampung Pasir Pandak yang ketika itu bersama seorang rakannya, didatangi lapan lelaki tidak dikenali pada sekitar jam 12 tengah malam berkenaan.

Suspek-suspek tersebut merampas sejumlah wang dan dokumen peribadi daripada mangsa sebelum melarikan diri.