Rabu, 22 Ogos 2012

Penumpang Maut Selepas Van Bertembung Dengan Lori

Polis dan rakan mangsa sedang menutup mayat mangsa 

SARIKEI: Seorang penumpang dikenali sebagai Sulaiman Rabaie, 33, maut di tempat kejadian selepas van yang ditumpanginya terbabit dalam satu kemalangan dengan sebuah lori pengangkut jentera berat, petang kelmarin.

Sebelum kejadian, mangsa yang berasal dari Kampung Kupang, Saratok dalam perjalanan pulang ke kampungnya setelah tiba dari Semenanjung Malaysia.

Dalam kejadian di Kilometer 19, Jalan Sarikei-Kuching iaitu di selekoh tajam berhampiran Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Paoh itu, mangsa yang duduk di bahagian belakang van telah tercampak keluar akibat impak kemalangan tersebut.

Sementara 11 lagi penumpang yang turut menaiki van itu hanya mengalami kecederaan ringan manakala pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan.

Kemalangan turut menyebabkan kesesakan teruk di lokasi kejadian. Mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Sarikei untuk bedah siasat.

Di lokasi berasingan pada hari sama, seorang kanak-kanak lelaki dilaporkan cedera parah setelah kereta Perodua Viva yang ditumpangi bersama ibu bapanya terbabit kemalangan di kawasan Bukit Sebangkoi.

Keluarga mangsa yang berasal dari Kampung Empelam, Roban dalam perjalanan balik dari bandar Sarikei apabila terbabit kemalangan sekitar jam 11 pagi kejadian.

Kejadian berpunca daripada sebuah kenderaan Perodua Myvi dipandu seorang remaja bersama rakan-rakannya yang dalam perjalanan ke bandar Sarikei sedang menuruni Bukit Sebangkoi apabila ia tiba-tiba hilang kawalan.

Kenderaan Myvi tersebut kemudian berpusing beberapa kali sebelum bertembung dengan kereta yang dinaiki kanak-kanak itu dan ibu bapanya.

Rempuhan turut menyebabkan ibu bapa kanak-kanak malang itu cedera dan kesemua mangsa dikejarkan ke Hospital Sarikei untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Manakala dua remaja terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan. Polis kini sedang menyisat punca kedua-dua kemalangan tersebut.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan