Rabu, 29 Ogos 2012

Pasar Malam Di Miri Guna Konsep Lampu Tenaga Diperbaharui

Antara kakitangan MBM yang terlibat dalam sesi penerangan kepada peniaga pasar malam

MIRI: Peniaga pasar malam di bandar raya Miri yang bakal bermula pada esok (30 Ogos) akan menggunakan konsep lampu daripada tenaga diperbaharui yang pertama di Malaysia.

Berbeza dengan pasar malam lain, penggunaan lampu LED daripada tenaga solar akan diperkenalkan secara meluas di bandar ini.

“Kami lihat sambutan di kalangan peniaga yang menggunakan lampu LED daripada tenaga solar nanti dan kalau menggalakkan, ia mungkin akan diperluaskan,” kata jurucakap Majlis Bandaraya Miri (MBM) ketika ditemui Utusan Borneo dalam sesi penerangan syarat-syarat permit pasar malam berkenaan semalam.

Menurutnya, ini termasuk bakal diperkenalkan kepada peniaga-peniaga pasar malam di Pusat Komersil SABERKAS dan di bahagian-bahagian lain.

“Ini termasuk mempromosikan penggunaan lampu LED tenaga solar kepada pihak majlis lain,” jelasnya.

Mengenai pasar malam, waktu perniagaan adalah berlangsung pada setiap malam Khamis, Jumaat dan Sabtu dari jam 6 petang hingga 11 malam.

Tetamu kehormat yang bakal menghadiri majlis perasmian pada 1 September bermula jam 8 malam adalah Menteri Muda Sukan Datuk Lee Kim Shin.

Sebelumnya Datuk Bandar MBM Lawrence Lai memberitahu bahawa selain bertindak sebagai medan perniagaan, pasar malam itu adalah tempat untuk keluarga keluar bersama-sama dan berjumpa rakan-rakan.

“Kemudian, ia (pasar malam) akan menjadi tarikan terutama kepada pelancong dan pelawat,” kata Lawrence lagi.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan