MELAKA - Polis masih mencari seorang lelaki berusia 41 tahun yang disyaki menikam abang iparnya sehingga mangsa maut di sebuah rumah di Kampung Serkam Pantai pada Rabu lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Raja Shahrom Raja Abdullah berkata, lelaki yang sudah dikenal pasti itu dipercayai masih berada di dalam negara dan polis berharap suspek tampil menyerah diri bagi membantu siasatan kejadian tersebut.
"Polis sudah melancarkan gerakan mencari lelaki berkenaan di lokasi yang dipercayai menjadi persembunyian suspek tetapi belum berhasil," kata beliau.
Selain itu, menurut beliau, polis juga meminta kerjasama isteri suspek itu supaya menasihati suaminya menyerah diri jika pasangan tersebut masih berhubungan.
Bagaimanapun, Raja Shahrom berkata, setakat ini belum ada perkembangan mengenai suspek.
Tambah beliau, suspek yang bekerja sebagai pemandu di sebuah kementerian kerajaan di Putrajaya menghilangkan diri dengan memandu kereta jenis Proton Iswara sejurus menghantar abang iparnya yang ditikam ke Hospital Melaka pada hari kejadian.
Niat murni seorang jurukimpal yang menegur adik iparnya yang didakwa kerap memukul isteri berakhir dengan tragedi apabila mangsa ditikam oleh adik ipar itu.
Dalam kejadian pukul 7.30 malam itu, mangsa Rashid Ahmad, 46, meninggal dunia di Hospital Melaka selepas mengalami kecederaan parah di pinggang kirinya.
Sementara itu, adik mangsa, Mohd. Radzi Ahmad, 29, berkata, arwah abangnya yang tinggal di Muar, Johor merupakan seorang yang baik dan sentiasa menjaga tutur kata setiap kali bercakap dengan orang lain.
"Tidak sangka teguran terhadap adik ipar (suspek) membuatkan lelaki itu berang sehingga sanggup menikam arwah," katanya yang sedih dengan tragedi tersebut.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai suspek boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka melalui nombor telefon 06-285 4222.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan