Keadaan banjir kilat di salah sebuah rumah di Kampung Sentosa, Salim di Sibu
SIBU: Penduduk yang tinggal di hujung Lorong 6 dan Lorong 4, Jalan Sentosa, Salim (Kampung Usahajaya Baru Fasa I) di sini ‘bertarung’ dengan banjir kilat selama lebih lima jam apabila kediaman mereka dinaiki air, lewat petang kelmarin.
Menurut salah seorang penduduk terjejas yang hanya ingin dikenali sebagai Mamat, kejadian itu merupakan yang pertama kali menimpa beberapa kediaman di kedua-dua lorong terbabit selepas hujan lebat turun sekitar jam 2 petang.
“Banjir ini adalah yang pertama berlaku selepas kami tinggal di sini sejak berbelas tahun lalu. Tidak pernah sebelum ini berlaku, meskipun hujan lebat. Ini disebabkan sistem perparitan kami di sini terjejas akibat faktor pembangunan di sebelah kampung kami ini.
“Ia disebabkan projek di situ dibangunkan tanpa kajian menyeluruh terhadap sistem perparitan di kampung kami. Air dilihat melimpah keluar dari parit atau longkang berdekatan setelah hujan lebat turun selama dua hingga tiga jam,” ujarnya kepada Utusan Borneo, petang kelmarin.
Menurutnya, setelah longkang berdekatan dipenuhi air, air mula melimpah ke jalan dan halaman rumah seterusnya masuk ke dalam rumah sekali gus membanjiri kawasan sekelilingnya.
“Air melimpah masuk ke dalam rumah dengan sekelip mata sahaja sehingga kami berasa cemas tambahan pula hari semakin gelap. Melihat air sudah memenuhi kawasan halaman rumah penduduk bergegas memindahkan kereta ke kawasan yang lebih tinggi.
“Malah, ada di antara penduduk yang tidak sempat memindahkan motosikal mereka kerana sibuk memindahkan barang-barang di dalam rumah. Antara barang yang dipindahkan ke tempat yang tinggi ialah televisyen, peti sejuk, perabot, almari, sofa dan sebagainya,” jelasnya lagi.
Mamat berkata, empat hingga enam buah rumah terjejas dalam kejadian itu, terutama rumah yang terletak di hujung kedua-dua lorong terbabit.
“Akibat banjir kilat ini, ada di antara penduduk mengalami kerugian akibat harta benda yang tidak sempat diselamatkan kerana air naik begitu cepat sekali. Antara harta benda penduduk yang rosak adalah beg simen, motosikal dan mesin basuh.
“Walaupun nilainya tidak mahal, namun mereka tetap mengalami kerugian beratus-ratus ringgit akibat banjir kilat ini yang disebabkan oleh projek pembangunan di tepi kampung ini. Di mana kami nak tuntut hak kerugian kami ini?” ujarnya.
Air longkang yang melimpah masuk ke kediaman penduduk, jelasnya, menenggelamkan kawasan sekeliling dan bahagian dalam rumah mereka kira-kira sedalam dua hingga tiga kaki.
Beliau memberitahu, air mula surut dan keadaan beransur pulih sekitar jam 8 malam.
“Pada masa itu, air kelihatan surut dengan deras kembali ke longkang berdekatan. Baharulah kami berasa lega namun masih menanggung beberapa kerugian.
“Masa itu baharulah kami mula mencuci rumah akibat limpahan air longkang yang kotor serta berpasir. Kami sungguh kesal serta masih berasa terkejut dengan kejadian ini,” tambah beliau.
Sehubungan itu, Mamat mewakili penduduk menyeru pemaju pembangunan berdekatan agar meneliti sistem perparitan di kampung itu agar kejadian serupa tidak berulang lagi.
“Saya berharap pihak berkenaan juga tampil ke kampung kita ini serta melakukan kajian terhadap projek pembangunan di sebelah kampung ini khususnya melibatkan sistem perparitan kami di sini.
“Kami sebenarnya tidak menolak pembangunan tetapi biarlah ia tidak mengganggu tempat tinggal kami seperti apa yang berlaku ini,” ujarnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan