Jumaat, 31 Ogos 2012

Sindiket Kad Kredit Tumpas

Firdaus menunjukkan kad kredit yang telah dirampas dalam serbuan

KUCHING: Sebanyak 29 kad kredit yang didaftarkan atas nama beberapa individu dirampas dipercayai telah dipohon secara haram oleh satu sindiket dalam satu operasi oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) kelmarin.

Ketua JSJK Sarawak Superintenden Mohammad Firdaus Abdullah berkata operasi oleh JSJK Ibu Pejabat Polis Da-erah (IPD) Kuching telah dijalankan ke atas sebuah rumah di Petra Jaya sekitar jam 4.36 petang Selasa (28 Ogos).

Menurutnya, dalam serbuan tersebut, seorang wanita warga tempatan berusia 37 tahun ditahan untuk membantu siasatan.

“Serbuan telah dijalankan ke atas sebuah rumah di Petra Jaya berjaya menahan seorang wanita dan turut merampas 29 keping kad kredit yang dikeluarkan oleh tujuh bank komersial berasingan.

“Siasatan awal mendapati kesemua kad kredit tersebut telah didaftarkan ke atas beberapa individu yang dipercayai telah dipohon oleh suspek dengan memalsukan atau menggunakan butiran peribadi individu tertentu tanpa kebenaran,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media di pejabatnya di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak di sini, petang semalam.

Menurut beliau,kesemua kad kredit tersebut adalah asli dan dianggarkan penggunaan kad kredit tersebut mampu mencecah RM150,000.

Ditanya mengenai modus operandi sindiket tersebut, Firdaus memberitahu bahawa suspek akan mendapatkan butiran peribadi individu tertentu termasuk penyata gaji dan sebagainya sebelum memohon kad kredit tersebut.

“Kami difahamkan, kebanyakan mangsa suspek terdiri daripada individu yang ada membuat permohonan pinjaman bank seperti pinjaman pembelian kereta dan sebagainya.

“Dari situ, suspek akan memperolehi maklumat peribadi individu tertentu sebelum menggunakannya untuk memohon kad kredit,” katanya sambil menambah kebanyakan kad kredit tersebut didaftarkan di bawah alamat rumah suspek sendiri.

Firdaus turut memberitahu, daripada 29 kad kredit tersebut, tiga daripadanya telah digunakan oleh suspek yang juga merupakan pemilik sebuah taska di pusat bandar raya.

“Kad-kad yang lain belum digunakan lagi, malah ada juga yang belum diaktifkan,”katanya.

Menurut Firdaus, siasatan polis masih dijalankan di bawah Seksyen 402 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau sebatan atau kedua-duanya sekali jika suspek didapati bersalah.

“Kes ini masih disiasat dan kami tidak menolak kemungkinan bahawa ini adalah satu sindiket sungguhpun ia adalah kes yang pertama berlaku di negeri ini,”katanya.

Sementara menurut Timbalan Ketua JSJK Sarawak DSP Yap Fui Lee, orang awam dinasihati untuk sentiasa berhati-hati jika berurusan dengan mana-mana pihak terutama yang melibatkan pemberian butiran peribadi.

“Selain itu, orang awam juga dinasihati agar tidak sesekali menandatangani mana-mana dokumen kosong kerana macam-macam perkara boleh terjadi dengan adanya tandangan kita pada dokumen tersebut,”katanya.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan