Sabtu, 25 Ogos 2012

Bunuh: Isteri Pengurus Bank Dihadap Ke Mahkamah

Isteri mangsa, Ling Hang Tsyr (kiri)

SIBU: Tiga suspek termasuk isteri kepada pengurus bank yang dibunuh kejam di Jalan Ulu Sungai Merah baru-baru ini telah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, semalam.

Selain isteri kepada pengurus bank, turut dihadapkan ke mahkamah bagi mendengar pertuduhan awal ialah teman lelakinya serta seorang pemuda.

Turut dibawa ke mahkamah semalam ialah tiga suspek lain setelah tahanan reman kesemua mereka sebelum ini tamat tempoh.

Isteri mangsa, Ling Hang Tsyr, 31, bersama teman lelakinya, Tiong King Guan, 26, serta suspek utama kes, Ling How Ing, 24, dihadapkan ke mahkamah kira-kira jam 11 pagi.

How Ing menghadapi pertuduhan membunuh pengurus bank, Stephen Wong yang dibaca mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan sementara Tiong dan Hang Tsyr didakwa bersubahat dan dituduh mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 302 dan Seksyen 34 Kanun yang sama.

Sementara tiga lagi suspek dibebaskan dengan ikat jamin mengikut Seksyen 118 Kanun Prosedur Jenayah dan dijadikan saksi pendakwa raya.

Tiong diwakili oleh Peguam Bela Orlando Chua sementara Hang Tsyr diwakili oleh Anthony Tai, Robert Chin dan Sempurai Petrus Ngelai. How Ing bagaimanapun masih belum diwakili oleh mana-mana peguam bela.

Ketika pertuduhan awal dibaca semalam di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Jackson Juga, tiada pengakuan diambil daripada ketiga-tiga tertuduh. Kes akan disebut semula pada 21 September depan.

Wong telah dibunuh kejam di kediamannya di Jalan Ulu Sungai Merah pada 14 Jun lepas, kira-kira jam 1.30 pagi. Mayat mangsa ditemui berlumuran darah di bilik tidur utama di kediamannya.

Mangsa mati akibat kecederaan di bahagian leher serta kesan tikaman di dada dan perut, selain beberapa kecederaan lain di anggota badannya.

Ketika kejadian, hanya isteri mangsa dan anak mereka yang berusia tiga tahun berada di rumah.

Kes pembunuhan ini telah menarik perhatian ramai penduduk di bandar ini apabila pekarangan Kompleks Mahkamah Sibu di sini penuh sesak dengan orang ramai yang ingin mengikuti perkembangan kes terbabit.

Selain itu, ramai juga yang ingin melihat dengan lebih dekat keenam-enam suspek yang terlibat dengan kes terbabit dan ramai yang telah berada di pekarangan mahkamah seawal jam 8 pagi.

Keenam-enam suspek yang terdiri daripada isteri mangsa serta teman lelaki, dibawa ke bilik tahanan di Kompleks Mahkamah Sibu kira-kira jam 9 pagi.

Namun keenam-enam suspek hanya dibawa ke kamar Mahkamah Sesyen pada jam 11.10 pagi, dengan keadaan di dalam dan luar kamar mahkamah telah penuh sesak dengan orang ramai yang ingin mengikuti perkembangan kes.

Keadaan sama pernah berlaku ketika perbicaraan kes melibatkan kumpulan kongsi gelap beberapa tahun lepas, apabila banyak pihak ingin mengikuti perkembangan kes secara lebih dekat.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan