Selasa, 28 Ogos 2012

Perintah Ikat Jamin Bukan Bererti Lepaskan Nor Afizal


PUTRAJAYA - Walaupun pemain boling kebangsaan, Nor Afizal Azizan dikenakan perintah ikat jamin berkelakuan baik selama lima tahun kerana merogol seorang gadis bawah umur, hukuman itu tidak bererti dia dilepaskan daripada kesalahan yang dilakukannya, kata Mahkamah Rayuan.

Dalam penghakiman setebal 14 muka surat yang dikeluarkan di sini hari ini, presidennya, Tan Sri Md. Raus Sharif berkata, mengikut perintah ikat jamin di bawah Seksyen 294 Kanun Tatacara Jenayah, seseorang yang dikenakan perintah itu sebenarnya disabitkan kesalahan dan sabitan itu direkodkan.

"Ia akan menjadi sebahagian daripada rekod jenayah orang berkenaan dan akan kekal sepanjang hayatnya,” kata Raus bagi menjelaskan salah tanggapan tentang Seksyen 294 Kanun Tatacara Jenayah yang diguna pakai dalam kes berkenaan.

Beliau berkata, sebenarnya, Nor Afizal, yang kini berusia 21 tahun, ditangguh daripada menjalani hukuman penjara dan perlu berkelakuan baik selama lima tahun.

"Sekiranya dia berkelakuan baik dalam tempoh lima tahun itu, dia akan terlepas daripada hukuman bagi kesalahannya. Sekiranya dia tidak mematuhi syarat yang ditetapkan dalam ikat jaminnya, dia akan ditangkap semula dan dikenakan tindakan sejajar dengan kesalahan rogol yang asal,” katanya. - BERNAMA


Tiada ulasan:

Catat Ulasan