PERAI: Suasana pilu menyelubungi sembilan sekeluarga apabila rumah mereka di Kampung Jawa di sini musnah dalam kebakaran pada hari raya pertama kelmarin.
Kejadian itu berlaku kira-kira jam 9.15 malam ketika mereka berbual di bawah rumah sebelum terdengar bunyi letupan seperti mercun.
Seorang anggota keluarga itu, Noor Sapiza Tajuddin, 28, berkata pada mulanya mereka menyangka letupan itu bunyi mercun biasa, namun terkejut apabila melihat api marak di sebuah bilik yang terletak di tingkat atas rumah berkenaan.
“Ketika kejadian, kami sekeluarga termasuk adik yang sedang dalam pantang 37 hari berbual di bawah. Kemudian kami dengar bunyi letupan, sangkakan kanak-kanak bermain mercun.
“Saya minta adik lelaki ke tingkat atas untuk memeriksa keadaan dan terkejut apabila mendapati biliknya sedang terbakar. Keadaan terus menjadi kelam-kabut dan semua berlari keluar untuk menyelamatkan diri.
“Nasib baik semua anggota keluarga, termasuk adik dan bayinya, selamat meskipun barangan berharga dan dokumen peribadi tidak sempat diselamatkan,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian semalam.
Sapiza berkata, beliau tidak pasti punca kebakaran itu, namun tidak menolak kemungkinan berlaku litar pintas.
Selain rumah Sapiza, turut terkena tempias ialah kediaman jiran sebelah yang rosak pada bahagian dapur dan bilik tidur.
Norsiah Sulaiman, 73, berkata ketika kejadian, beliau bersama 14 anggota keluarga yang terdiri daripada anak, menantu dan cucu, sedang menikmati juadah Hari Raya di ruang tamu rumah, sebelum keluar ke depan pintu untuk menghantar seorang anaknya pulang.
Bagaimanapun, beliau terkejut melihat api menjulang tinggi dari tingkat atas rumah sebelah, yang juga saudara terdekatnya.
“Makcik tergamam melihat api itu dan menjerit meminta semua yang ada di dalam rumah keluar menyelamatkan diri.
“Habis semua makanan bertaburan di atas lantai. Tetapi mujurlah semuanya selamat,” katanya.
Sementara itu, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Perai dengan kekuatan 18 orang bergegas ke tempat kejadian selepas menerima panggilan orang awam pada jam 9.25 malam.
Ketua Balai Perai yang mengetuai operasi itu, A’azelan Hassan berkata ketika tiba di tempat kejadian, api sedang marak di bahagian atas rumah tersebut namun berjaya dikawal pada jam 9.31 malam, dan padam sepenuhnya 31 minit kemudian.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan