Selasa, 28 Ogos 2012

Peniaga Wanita Nyaris Jadi Mangsa Samun


SHAH ALAM - Cubaan empat lelaki untuk menyamun seorang peniaga wanita di Taman Paling Jaya, Semenyih, awal pagi semalam gagal dengan tindakan pantas wanita berusia 45 tahun berkenaan memecut kenderaannya untuk menyelamatkan diri.

Dalam insiden kira-kira pukul 12.30 tengah malam itu, wanita itu yang berada dalam keretanya untuk pulang ke rumah selepas berniaga, dihampiri empat lelaki yang menaiki kereta Perodua Myvi.

Dua daripada suspek kemudian keluar daripada kereta tersebut dan menghampiri kereta yang dinaiki mangsa sebelum memecahkan cermin tingkap kereta mangsa dipercayai untuk menyamunnya.

"Terkejut dengan tindakan itu dan bimbang akan dicederakan suspek, mangsa kemudian segera memecut keretanya untuk menyelamatkan diri," kata Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Mohd. Adnan Abdullah pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini hari ini.

Katanya, mangsa telah memandu keretanya ke balai polis berhampiran untuk membuat laporan.

Bertindak berdasarkan maklumat, katanya, empat lelaki yang berumur dalam lingkungan 19 hingga 26 tahun ditahan di Plaza Tol Sungai Ramal, Kajang, Selangor pada kira-kira pukul 2 pagi semalam.

Mohd. Adnan berkata, polis antara lain menjumpai dua bilah parang, sebilah pisau dan sebatang kuku kambing daripada suspek.

"Polis sedang menyiasat sama ada kumpulan penjenayah ini terlibat dalam kes samun di sekitar Lembah Klang," katanya. - BERNAMA


Tiada ulasan:

Catat Ulasan