Sabtu, 25 Ogos 2012

Suspek Mati Ketika Disoal Siasat

Douglas menunjukkan laporan polis yang dibuatnya

MIRI: Ahli keluarga Lagan @ Dollah Gaong, 59, yang mati ketika sedang disoal siasat di Balai Polis Pusat Miri petang kelmarin tampil membuat laporan polis tengah hari semalam sambil merayu pihak polis menjalankan siasatan dengan telus berhubung punca kematiannya.

Laporan polis telah dibuat anak lelaki Lagan, Douglas Jubin Lagan, 29, di Balai Polis Pusat Miri di sini dengan ditemani ibunya, Biah Ateng, 54.

Turut menemani dua beranak itu ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Piasau Alan Ling Sie Kiong daripada Parti Tindakan Demokratik (DAP).

“Kami sekeluarga tidak menyalahkan pihak polis, namun kami ingin mengetahui apakah sebenarnya yang berlaku hingga menyebabkan kematian bapa,” katanya.

Sehubungan itu katanya, laporan polis dibuat bagi meminta polis menjalankan siasatan dengan telus untuk mengetahui punca sebenar kematian bapanya.

Menurut Douglas, mereka sekeluarga amat terkejut apabila dimaklumkan pihak polis berhubung kematian bapanya yang sedang dalam tahanan polis sejak 21 Ogos lalu.

“Kami hanya dimaklumkan tentang kematian bapa sekitar jam 7 malam kelmarin (Rabu) dan terus bergegas ke balai polis di sini untuk mengetahui berita lebih lanjut,” katanya sambil memberitahu, bapanya telah bekerja di syarikat kawalan keselamatan tersebut sejak tiga tahun lalu.

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Miri ACP Mun Kok Keong ketika ditemui di kediaman Ahli Parlimen Sibuti Ahmad Lai Bujang berjanji akan melakukan siasatan terperinci dan telus berhubung kejadian itu.

“Kami amat kesal dengan kejadian ini yang berlaku di Balai Polis Pusat Miri dan saya berjanji akan melakukan satu siasatan telus berhubung kes ini,” katanya sambil menegaskan tiada unsur jenayah dalam kes tersebut dan berharap ia hanya satu kematian semula jadi.

Pun begitu menurut beliau, punca sebenar kematian suspek hanya akan diketahui selepas proses bedah siasat yang akan dilakukan dalam tempoh terdekat ini oleh seorang ahli patologi dari Hospital Umum Sarawak (HUS).

“Kami sekarang sedang menunggu seorang ahli patologi dari HUS untuk melakukan bedah siasat ke atas mayat suspek bagi mengetahui punca sebenar kematiannya,” katanya.

Katanya ketika kejadian yang berlaku sekitar jam 5.20 petang kelmarin, Lagan dan seorang lagi suspek sedang disoal siasat oleh pegawai penyiasat kes dalam bilik siasatan di Balai Polis Pusat Miri.

Sebelum sempat menandatangani rakaman percakapannya, dia dikatakan kaku sebelum pengsan serta longlai dan terus meninggal dunia di tempat duduknya.

Sepasukan pegawai perubatan dari Hospital Miri telah bergegas ke balai polis berkenaan untuk memberi bantuan kepadanya namun gagal.

Lagan, merupakan salah seorang daripada dua suspek yang ditahan untuk membantu siasatan polis berhubung kes kehilangan wang tunai lebih RM68,000 dari pejabat syarikat tempat dia bekerja yang terletak di Pusat Komersil Morsjaya di sini pada malam Isnin lalu.

Pejabat syarikat kawalan keselamatan itu telah dilaporkan dipecah masuk pencuri pada malam Isnin lalu hingga menyebabkan kehilangan wang tersebut yang disimpan di dalam sebuah peti keselamatan.

Polis yang melakukan siasatan awal mendapati hanya kunci peti keselamatan yang dipotong manakala tiada kesan umpil pada pintu bahagian depan dan mengesyaki kecurian itu dilakukan orang dalam.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan