Ahad, 19 Ogos 2012

Kereta Api Tergelincir: Penumpang Lalui Detik Cemas


GUA MUSANG - Kira-kira 100 penumpang yang berada di dalam dua gerabak kereta api Ekspres Wau yang tergelincir di Kampung Sungai Yu, Merapoh dekat Kuala Lipis, Pahang, jam 6.45 pagi ini, melalui detik mencemaskan dan mengerikan.

Mereka terpelanting beberapa kali di dalam gerabak terbabit dalam keadaan bertindih antara satu sama lain, sebelum merangkak keluar menerusi cermin pintu gerabak yang dipecahkan.

Penumpang itu menaiki 14 gerabak kereta api terbabit yang dalam perjalanan pulang untuk menyambut Aidilfitri di kampung masing-masing.

Ketua Polis Daerah Kuala Lipis, Supt. Abdul Razak Hasan berkata dua daripada 14 gerabak kereta api Ekspres Wau yang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Tumpat, tergelincir kira-kira 11 kilometer selepas Stesen Keretapi Merapoh pada pukul 6.30 pagi.

Katanya, tiga mangsa parah dan lapan cedera ringan dihantar ke Hospital Gua Musang di sini, untuk rawatan lanjut.

Seorang penumpang yang terselamat, Nor Atikah Zakari, 21, berkata, semasa kejadian kebanyakan penumpang sedang nyenyak tidur, hanya beliau bersama beberapa penumpang lagi belum melelapkan mata.

Katanya, apabila sampai di tempat kejadian, gerabak yang dinaikinya tiba-tiba bergegar dengan kuat dipercayai selepas terputus dari sambungan dengan lokomotif.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan