MIRI: Sempena Hari Kemerdekaan Ke-55 negara pada hari ini, Datuk Bandar Miri Lawrence Lai meminta semua warganegara Malaysia terutama penduduk Miri supaya bersama-sama mengibarkan Jalur Gemilang di rumah mereka sebagai tanda cintakan negara.
“Bagi pihak Majlis Bandaraya Miri (MBM) saya ingin mengucapkan selamat menyambut Hari Kemerdekaan Ke-55 pada 31 Ogos ini, kepada semua rakyat Malaysia dan penduduk Miri.
“Kita perlu menunjukkan semangat patriotisme dan sebagai membuktikan tanda cintakan negara, semua warga Malaysia perlu mengibarkan Jalur Gemilang di rumah masing-masing dan saya mahu menggesa semua semua warga Miri mengibarkan Jalur Gemilang di rumah mereka, bangunan kedai, pejabat, tempat kerja dan pusat-pusat komersial pada hari ini,” katanya dalam perutusan Hari Kemerdekaan Ke-55 di sini, petang semalam.
“Sejak mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957, kita menyaksikan banyak perubahan yang berlaku di kalangan rakyat Malaysia dan kita seharusnya bersyukur kerana dapat menikmati kehidupan yang aman damai di negara ini, pada hari ini,” tambahnya.
Sempena sambutan Hari Kemerdekaan ini juga, Lawrence turut mengingatkan penduduk Miri bahawa malam ini (31 Ogos) adalah majlis pelancaran rasmi Pasar Malam Miri yang baharu, di tapak pasar malam berkenaan bermula jam 7 hingga 10 malam.
“Pelbagai acara telah disediakan sempena pelancarannya kelak termasuk konsert dengan persembahan muzikal dan nyanyian,” katanya.
Beliau pada masa yang sama meminta penduduk bandar raya ini termasuk para pelawat tempatan dan asing supaya beramai-ramai datang ke Pasar Malam Miri sebagai sokongan mereka untuk menghidupkan semula pasar malam tersebut yang pernah popular sekitar tahun 70-an.
Pasar Malam Miri yang baharu turut dibuka semula di lokasi tapak pasar malam yang lama yang pernah dibuka lewat tahun 1970-an iaitu di sepanjang Jalan Brooke.
Pasar malam tersebut katanya, mulai dibuka malam tadi, bermula jam 6 petang hingga 11 malam dan akan dibuka setiap malam Khamis, Jumaat dan Sabtu setiap minggu.
Sebanyak 165 gerai akan dibuka di sepanjang Jalan Brooke bermula dari simpang jalan menghala ke High Street dan Jalan Nahkoda Gampar.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan