Selasa, 28 Ogos 2012

Suami Isteri Dan Dua Rakan Didakwa Edar Dadah


KUALA LUMPUR - Sepasang suami isteri, masing-masing warga Singapura dan China didakwa di Mahkamah Majistret di sini terhadap pertuduhan mengedar dadah jenis ketamin seberat 88.4gram, dua minggu lalu.

Dua rakan mereka warganegara Singapura dan Vietnam turut didakwa terhadap pertuduhan yang sama mengikut Seksyen 39B(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Tan Meng Kiat, 39, warga Singapura dan isterinya warga China, Meng Bei Bei, 25, manakala rakan mereka Kwok Pin Hwee, 31, warga Singapura dan Le Thi Thuy Nga, 28, warga Vietnam dituduh melakukan kesalahan tersebut di sebuah rumah beralamat Blok 10-9-3A, Jalan 1C/149, Petaling Indah Condominium, pada 4.30 petang, 13 Ogos lalu.

Pin Hwee, turut menghadapi satu lagi pertuduhan mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 611.5gram di tempat, masa dan tarikh yang sama.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada mereka ketika pertuduhan dibacakan dalam bahasa Mandarin. - BERNAMA


Tiada ulasan:

Catat Ulasan