Sabtu, 25 Ogos 2012

Lelaki Kerugian RM26,000 Diperdaya ‘Pegawai Bank’


KUCHING: Seorang lelaki kerugian RM26,000 selepas diperdaya seorang lelaki yang mendakwa dirinya pegawai bank petang semalam.

Menurut sumber, mangsa yang berusia 28 tahun telah menerima satu panggilan telefon daripada seorang lelaki yang memperkenalkan dirinya sebagai pegawai bank sekitar jam 1 petang semalam.

Dalam perbualan telefon tersebut, mangsa diminta lelaki berkenaan untuk menjelaskan hutang kad kreditnya sebanyak RM9,000 sebelum sebarang tindakan diambil terhadapnya.

Mangsa yang kurang jelas mengenai perkara itu enggan membayar hutang tersebut tambahan menurutnya, dia tidak pernah menggunakan kad kreditnya sehingga mencecah angka tersebut.

Bagaimanapun, lelaki yang mendakwa dirinya pegawai bank itu kemudian memberitahu mangsa bahawa segala akaun miliknya akan dibekukan dan semua wang simpanannya akan dilupuskan sekiranya hutang tersebut tidak dijelaskan.

Lelaki tersebut turut memberitahu, untuk mengelakkan perkara tersebut berlaku, mangsa perlu memindahkan semua wang simpanannya ke dalam satu akaun sementara.

Risau kehilangan wang simpanan, mangsa kemudian segera memindahkan sejumlah RM26,000 wang simpanannya ke dalam satu akaun seperti yang diarahkan oleh lelaki tersebut.

Sebaik selesai memindahkan wang tersebut, mangsa kemudian cuba menghubungi semula lelaki tersebut namun gagal sehingga dia mengesyaki dirinya telah ditipu.

Mangsa yang diiringi rakannya kemudian tampil membuat laporan polis di Balai Polis Simpang Tiga sebelum dirujuk ke Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) untuk siasatan lanjut.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan