Zulhaidah Suboh
MIRI: Seorang Ahli Exco Angkatan Muda Keadilan (AMK) Parti Keadilan Rakyat (PKR) kerugian lebih RM6,000 setelah rumahnya yang terletak di Bandar Baharu Permyjaya di sini dipecah masuk pencuri pada malam ambang Hari Raya Aidilfitri yang lalu.
Dalam kejadian itu, pencuri terbabit yang dipercayai lebih daripada seorang telah menceroboh masuk ke rumahnya melalui pintu di bahagian dapur.
Berikutan itu, satu laporan polis telah dibuat oleh Zulhaidah Suboh di Balai Polis Pusat Miri di sini semalam.
Zulhaidah, 38, ketika dihubungi Utusan Borneo semalam memberitahu bahawa antara barang-barang yang hilang ialah wang tunai RM500, satu unit komputer riba dan empat telefon bimbit termasuk satu unit miliknya.
Katanya ketika kejadian dia sedang tidur bersama anak perempuannya di ruang tamu setelah keletihan membuat persediaan untuk menyambut Hari Raya keesokannya.
Manakala suaminya yang berada di bahagian belakang rumah turut sibuk membuat persediaan lain.
“Sekitar jam 2 pagi, saya ternampak kelibat seseorang berjalan mundar-mandir di hadapan saya seolah-olah mencari sesuatu… namun saya tidak berdaya untuk bangun,” katanya.
Meskipun masih terkejut dengan kejadian itu, namun Zulhaidah bersyukur kerana pencuri terbabit tidak mengapa-apakan mereka sekeluarga.
Dalam pada itu, tindakan pantas polis membawa kepada penangkapan seorang suspek dalam tempoh kurang 24 jam selepas kejadian dilaporkan berlaku.
Menurut sumber, suspek yang diberkas turut mempunyai beberapa rekod kesalahan lampau iaitu jenayah ragut dan rompak. - Utusan Borneo
Tiada ulasan:
Catat Ulasan