Selasa, 28 Ogos 2012

Dua Cedera Ambulans Terbalik

Ambulans terbalik hingga menyebabkan pemandu dan seorang jururawat cedera 

KUCHING – Seorang pemandu ambulans dan seorang jururawat nyaris cedera parah apabila kenderaan yang mereka naiki itu terbabas lalu terbalik di atas pembahagi jalan dalam kejadian di Jalan Wan Alwi di sini semalam.

Kejadian pukul 4 petang itu berlaku ketika kedua-dua mangsa dalam perjalanan dari Hospital Pakar Kuching, Tabuan Stutong di sini ke Tabuan Dayak untuk mengambil pesakit. Jarak antara dua tempat itu kira-kira tiga kilometer.

Kemalangan dikatakan berlaku apabila pemandu ambulans tersebut hilang kawalan ekoran jalan licin ketika hujan lebat di sepanjang perjalanan.

Jurucakap polis berkata, kedua-dua mangsa yang belum dikenal pasti identitinya itu hanya mengalami kecederaan ringan dan dirawat sebagai pesakit luar.

“Polis percaya kejadian itu disebabkan jalan licin ekoran hujan lebat. Pemandu ambulans dipercayai gagal mengawal kenderaan lalu terbabas dan terhumban melepasi penghadang ke jalan bertentangan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.

Kejadian itu turut mengakibatkan kesesakan lalu lintas sepanjang kira-kira dua kilometer ekoran pemandu bertindak memperlahankan kenderaan masing-masing untuk melihat kemalangan tersebut.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan