Isnin, 20 Ogos 2012

Lelaki Tegur Rakan Ambil Dadah Dibelasah

Gambar Hiasan

KUCHING: Seorang lelaki cedera parah diserang sekumpulan lelaki selepas menegur dan menasihati seorang rakannya yang dipercayai telah mengambil dadah.

Menurut sumber, kejadian tersebut berlaku di sebuah kedai di kawasan Satok selepas mangsa dimaklumkan oleh teman wanitanya bahawa rakannya itu telah meminjam wang daripadanya untuk membeli dadah.

Risau akan perkara tersebut, mangsa cuba menasihati rakannya itu tetapi sebaliknya mengundang kemarahan kepada rakan mangsa yang kemudian mengadu perkara tersebut kepada lelaki yang menjual dadah kepadanya.

Marah selepas mengetahui perkara tersebut, lelaki yang menjual dadah itu kemudian mencari mangsa bersama kira-kira 20 orang yang tidak dikenali.

Tanpa mempedulikan keadaan mangsa, kesemua suspek kemudian membelasah mangsa tanpa belas kesihan menyebabkan mangsa rebah di tempat kejadian.

Teman wanita mangsa yang turut berada di tempat kejadian cuba untuk mempertahankan mangsa namun turut dibelasah.

Kesemua suspek kemudian segera meninggalkan tempat kejadian selepas insiden tersebut.

Mangsa yang mengalami kecederaan di beberapa anggota badan kemudian segera mendapatkan rawatan di Hospital Umum Sarawak (HUS) sebelum membuat laporan polis di balai polis berhampiran.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan