SIBU: Mohd Jaidi Hanil,15, menghembuskan nafas terakhirnya selepas gagal diselamatkan ketika menerima rawatan di Hospital Sibu malam kelmarin.
Ia berlaku beberapa jam selepas ayahnya, Hanil Hassan meninggal dunia dalam nahas jalan raya pada jam 4.10 petang di Jalan Paradom, 17 kilometer dari sini. Mohd Jaidi meninggal dunia kerana mengalami cedera parah di kepala.
Sehingga kini, adiknya, Mohd Hafi Zurah, 9, yang cedera di muka, dagu dan lehernya masih bertarung nyawa dan belum sedarkan diri di hospital.
Dua orang lagi adik mangsa iaitu adik perempuan dan adik lelaki bersama ibu mereka juga masih menerima rawatan.
Suasana hiba menyelubungi ruang legar wad ICU malam kelmarin setelah Mohd Jaidi disahkan meninggal dunia.
Kemalangan tragis tersebut melibatkan empat kenderaan termasuk dua kereta, sebuah bas dan sebuah lori.
Difahamkan kemalangan berlaku apabila sebuah bas cuba mengelak ke kanan mengakibatkan kemalangan berantai namun terlanggar belakang lori dan merempuh kereta Hanil yang datang dari arah bertentangan.
Hanil yang sepatutnya mula bekerja pada 1 September merupakan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat yang bekerja di Miri, dikatakan dalam perjalanan ke Kuching bersama keluarganya sebelum nahas itu berlaku.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan