Jumaat, 31 Ogos 2012

Lelaki Penan Nyaris Maut Ditembak Pemburu

MIRI: Seorang lelaki kaum Penan dari Long Kawah, Tutoh-Apoh di Ulu Baram, nyaris maut apabila disangkakan binatang oleh seorang pemburu yang sedang berburu di hutan tidak jauh dari perkampungan mangsa.

Liling Gadung, 43, mengalami cedera parah di bahagian belakang kepala dan belakangnya serta pipi kiri dan telinga kiri akibat peluru Oleh Clare Cinderella penabur yang berkecai.

Bagaimanapun mangsa bernasib baik terselamat dalam kejadian itu kerana peluru daripada senapang patah milik suspek (pemburu) tersasar dari kepalanya.

Mangsa yang ditemui di Hospital Miri di sini petang semalam memberitahu, kejadian berlaku sekitar jam 5.30 petang, Selasa lalu, ketika dia dan abangnya, sedang mencari kayu-kayu yang sesuai untuk syarikat swasta tempatnya bekerja sebagai buruh binaan bagi membina penempatan (kem) kediaman pekerja.

Dalam keadaan senja yang samar-samar, pemburu tersebut, Rawing Pangai, berbangsa Iban dari Long Siang, Tutoh, menyangkakan kedua-dua mereka ialah binatang liar lalu melepaskan tembakan ke arah mangsa bagaimanapun tersasar.

Rawing hanya menyedari sasarannya bukan binatang tetapi manusia apabila terdengar jeritan mangsa yang mengalami kesakitan akibat serpihan peluru penabur daripada senapang patahnya.

Mangsa kemudian dikejarkan ke Klinik Desa Long Bedian oleh kakitangan syarikat swasta tempat mangsa bekerja sementara, sebelum dia dirujuk ke Hospital Miri untuk menerima rawatan lanjut.

Manakala Rawing (pemburu) pula menyerah diri kepada polis di Balai Polis Marudi bersama senapang patah yang digunakan untuk berburu itu, pada jam 1.40 petang kelmarin (Rabu).

Laporan polis mengenai kejadian dan penyerahan diri oleh Rawing telah disahkan oleh Ketua Polis Daerah Marudi DSP Abu Bakar Mokhtar.

Sementara itu, Liling yang masih dirawat di wad biasa di Hospital Miri di sini, semakin pulih dan stabil, walaupun masih trauma dengan kejadian tersebut.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan