Jumaat, 24 Ogos 2012

Pekerja Dibelasah Selepas Cuba Tahan Wanita Curi Susu


KUCHING: Seorang pekerja sebuah pasar raya dibelasah tiga lelaki selepas cuba menahan seorang wanita yang disyaki mencuri beberapa tin susu dari pasar raya tersebut petang kelmarin.

Menurut sumber, mangsa yang berusia 27 tahun pada mulanya telah diberitahu oleh seorang rakan sekerjanya selepas terlihat wanita tersebut memasukkan beberapa tin susu ke dalam beg tangannya sekitar jam 4 petang kelmarin.

Bagi menentukan kesahihan dakwaan itu, mangsa kemudian segera mendapatkan wanita tersebut dan menahannya menyebabkan wanita itu marah dan melawan.

Sejurus kemudian, tiba-tiba tiga lelaki tidak dikenali dipercayai rakan wanita tersebut memasuki pasar raya itu dan terus membelasah mangsa menyebabkan dia cedera di beberapa anggota badan.

Ketiga-tiga lelaki itu kemudian beredar dari tempat kejadian bersama wanita tersebut menggunakan sebuah kereta jenis Proton Waja berwarna biru muda.

Mangsa yang diiringi beberapa rakan kemudian membuat laporan polis berhubung kejadian itu. Dalam laporan, suspek berjaya membawa lari sembilan tin susu dengan anggaran kerugian mencecah RM900. Polis kini sedang menyiasat laporan itu.

Sementara itu, dalam kejadian berasingan, seorang doktor membuat laporan polis selepas kliniknya dipecah masuk awal pagi semalam.

Menurut sumber, kejadian disedari mangsa selepas melawat kliniknya yang terletak di Kota Sentosa, sekitar jam 1 pagi semalam.

Tambahnya, sejurus tiba di klinik tersebut, dia mendapati pintu hadapan premis tersebut telah dirosakkan dan pemeriksaan lanjut mendapati sebuah komputer riba dan wang tunai RM3,000 telah hilang.

Laporan polis turut dibuat oleh mangsa.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan