Khamis, 30 Ogos 2012

Lelaki Dicekup Ketika Menceroboh Sebuah Rumah

Suspek dibawa ke Balai Polis Simpang Tiga 

KUCHING: Seorang lelaki memberi alasan ingin menggunakan tandas selepas dicekup ketika menceroboh masuk sebuah rumah tengah hari semalam.

Suspek yang berusia 52 tahun dari Kampung Gita di sini, semasa kejadian dikatakan menceroboh masuk sebuah rumah yang tidak berpenghuni di Petra Jaya sebelum dia dilihat oleh orang awam yang berada berdekatan rumah tersebut sekitar jam 12.30 tengah hari.

Abang kepada pemilik rumah tersebut memberitahu dia telah dihubungi oleh seorang jiran mengenai insiden tersebut sebelum bergegas ke tempat kejadian dan melaporkan perkara tersebut kepada pihak polis.

Sejurus tiba di tempat kejadian, dia memberitahu, beberapa orang awam termasuk jirannya sudah berada di luar rumah itu untuk memastikan suspek tidak melarikan diri sementara menunggu ketibaan pihak polis.

“Adik (pemilik rumah) saya sudah lama tidak tinggal di rumah tersebut kerana kini sedang bertugas di luar negara dan menetap bersama keluargnya di situ menyebabkan rumah itu sudah lama tidak dihuni,”katanya.

Beberapa anggota daripada Unit Kereta Peronda Polis (MPV) tiba di tempat kejadian dan telah mengarahkan suspek untuk menyerah diri.

“Dia (suspek) tidak mahu keluar menyebabkan pihak polis terpaksa menyerbu masuk dan menahan dia yang sedang bersembunyi di belakang almari di dalam rumah itu,”katanya.

Menurutnya, semasa ditahan suspek memberitahu bahawa dia hanya ingin menggunakan tandas dan tidak mempunyai niat lain.

“Dia mendakwa dirinya mengalami sakit perut dan ingin menggunakan tandas tetapi hasil pemeriksaan di dalam rumah mendapati beberapa bilik termasuk almari telah diselongkar dan keadaan di dalam rumah adalah berselerak,”katanya. Suspek kemudian ditahan dan dibawa ke Balai Polis Simpang Tiga untuk diambil keterangan.

Sementara abang kepada pemilik rumah tersebut turut membuat laporan polis berhubung kejadian, juga di Balai Polis Simpang Tiga.

Siasatan polis berhubung kejadian masih dijalankan.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan