Jumaat, 24 Ogos 2012

Remaja Cedera Ditikam Bapa Saudara


KUCHING: Seorang remaja mengalami kecederaan di dadanya selepas ditikam dalam satu pergaduhan dengan bapa saudara serta sepupunya malam kelmarin.

Mangsa yang berusia 22 tahun, semasa insiden dikatakan tidur di rumah neneknya di Kampung Panglima Seman sebelum seorang sepupu lelakinya memasuki bilik tempat mangsa tidur kerana mancari seluar pendek sekitar jam 8 malam Selasa lepas.

Bagaimanapun, satu pertengkaran berlaku selepas mangsa dilihat memakai seluar pendek tersebut dan enggan mengembalikannya kepada sepupunya itu.

Bapa saudara mangsa yang juga bapa kepada sepupunya itu semasa kejadian dikatakan terdengar pertengkaran itu lalu segera ke bilik tersebut dalam keadaan marah.

Berang selepas diberitahu oleh anaknya mengenai perkara tersebut, bapa saudara mangsa kemudian terus menikam bahagian dada mangsa menggunakan senjata tajam. Mangsa kemudian dikatakan berjaya melarikan diri dari tempat kejadian dan menjerit meminta pertolongan.

Ekoran kecederaan yang dialami mangsa, dia kemudian telah dihantar oleh ahli keluarga lain ke Hospital Umum Sarawak untuk rawatan lanjut.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan