Rabu, 24 Oktober 2012

Diana, Farid Berpisah Selepas Kahwin



BERPISAH selepas berkahwin. Itu realiti yang bakal dihadapi aktres jelita, Diana Danielle selepas selamat melangsungkan pernikahannya dengan tunangnya, aktor Farid Kamil. Perkahwinan antara Diana dan Farid dijadualkan berlangsung pada 3 November ini.

Menurut pemilik nama sebenar Diana Danielle Danny Beeson, yang ditemui pada program Anugerah Skrin 2012 (ASK 2012) di pusat beli-belah e@Curve baru-baru ini, perpisahan itu disebabkan dia mahu menyambung pelajaran di luar negara.

"Saya berasa cemburu apabila melihat rakan seusia yang dapat menimba ilmu di negara orang. Saya lantas telah membincangkan tentang perkara tersebut bersama Farid. Dia nyata amat menyokong niat saya untuk menyambung pelajaran," ujarnya.

Diana bakal menimba ilmu di National Institute of Dramatic Art (NIDA), Australia dalam jurusan produksi siaran langsung selama setahun.

"Sebenarnya saya hanya mengambil kursus intensif. Selepas kami berkahwin, saya akan menyambung pelajaran sekitar awal tahun hadapan.

"Butirannya masih terlalu awal untuk dikongsi. Namun, nampaknya, kami terpaksa berjauhan buat sementara selepas kahwin nanti. Itu pengorbanan yang harus dilakukan demi masa depan kami berdua," luahnya.

Meskipun berat hati untuk berpisah, namun kata Diana, bakal suaminya itu juga akan melanjutkan pelajaran pada peringkat doktor falsafah di Malaysia pada waktu yang sama.

"Kami berdua sama-sama melanjutkan pelajaran, rasanya tidak akan ada masalah. Bukanlah saya tidak akan pulang langsung ke Malaysia, masih ada kerja yang harus diselesaikan di sini.

"Jika ingin berjumpa, jarak antara Malaysia dan Australia tidaklah jauh sangat. Kami akan berulang-alik. Pada waktu itu kami sudah sah sebagai suami isteri, jadi tiada masalah untuk Farid datang melawat saya," tuturnya.

Menyentuh soal kenapa dia ingin menimba ilmu di Australia sedangkan banyak lagi pusat pengajian tinggi berprestij di Malaysia, ketika karier lakonannya kini sedang berkembang maju, Diana melontarkan alasannya.

Ujarnya: "Pengalaman (belajar) di negara orang tidak sama dengan negara sendiri, dan menyambung pelajaran (di luar negara ) sememangnya merupakan impian saya.

"Sementelah, ilmu yang saya timba itu nanti amat berguna untuk kerjaya dan kehidupan saya pada kemudian hari. Sampai bila saya mahu bergantung hidup kepada pendapatan sebagai pelakon?"

Tambah Diana: "Saya sudah mengalami bagaimana rasanya diri berada dalam zaman popular dan kejatuhan. Ada masa pendapatan yang diperoleh lumayan dan ada masanya tidak.

"Jadi, ilmu yang bakal ditimba nanti adalah sebagai persediaan kerana saya dan Farid merancang untuk menubuhkan produksi kami sendiri pada masa hadapan."


Tiada ulasan:

Catat Ulasan