Rabu, 24 Oktober 2012

Ibu Muda Maut Selepas Bersalin

Menunjukkan rumah tempat Shaniza ditemui meninggal dunia bersama bayinya

KULIM – Penduduk di Taman Kekwa dekat sini gempar apabila seorang ibu muda yang sedang sarat hamil ditemui meninggal dunia bersama bayi yang baru dilahirkannya kelmarin.

Mayat Shaniza Idris, 27, ditemui pada pukul 2.30 petang oleh jirannya yang masuk ke dalam rumah selepas curiga apabila mendapati wanita itu tidak keluar untuk menjemput anaknya pulang sekolah.

Shaniza meninggal dunia selepas mengalami perdarahan teruk apabila uri dikatakan tidak keluar sepenuhnya ketika mangsa bersalin bersendirian.

Mayatnya ditemui dalam keadaan tertiarap dalam bilik utama dengan berlumuran darah manakala mayat bayinya itu berada dalam bilik air.

Ketika kejadian, suami mangsa, Konstabel Asmadi Ahmad, 28, yang bertugas di Balai Polis Kulim tiada di rumah kerana sedang berkursus sejak seminggu lalu di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Selatan di Nibong Tebal.

Pasangan itu dikurniakan tiga anak iaitu Mohd. Danial, 7; Mohd. Dani, 4, serta Puteri Dayana, 1.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan