Rabu, 24 Oktober 2012

Warga Emas Cedera Diserang Anjing

Wong menunjukkan kesan luka digigit anjing

SIBU: Seorang warga emas yang cedera di betis kirinya selepas diserang lebih kurang lima ekor anjing ketika berjalan kaki di antara Jalan Tiong Hua dan Jalan Langsat pagi semalam, berniat untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pemilik anjing berkenaan.

Mangsa yang hanya dikenali sebagai Wong, 77, sedang berjalan kaki berseorangan menuju ke rumah kakaknya tidak jauh dari situ pada jam 10.15 pagi semalam apabila sekumpulan anjing keluar dari sebuah rumah di situ dan menyerangnya.

Katanya, salah seekor daripada anjing terbabit menggigit betisnya walaupun cuba mengelak dengan menggunakan payung.

“Saya tidak terdaya untuk mengelak diri daripada digigit oleh anjing berkenaan kerana saya telah dikelilingi beberapa ekor anjing lain yang sangat garang,” kata mangsa.

Beliau memberitahu bahagian gigitan terasa amat sakit selepas itu menyebabkannya dia tidak dapat berjalan dengan baik.

“Saya cuba untuk pergi ke rumah pemilik anjing itu untuk mengadu, tetapi mereka tidak ada di rumah,” ujarnya.

Mangsa kemudian terus beredar dari situ dan nasib baik orang awam yang simpati melihatnya dan menumpang mangsa menaiki kereta untuk pergi ke Balai Polis Sentral membuat aduan pada jam 10.50 pagi.

Ketika ditemui di balai polis terbabit, mangsa menyatakan hasratnya untuk mengadukan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) agar melakukan tindakan terhadap pemilik anjing terbabit agar lebih bertanggungjawab termasuk menjaga dan mengawal haiwan peliharaan bagi mengelak orang lain menjadi mangsa.

“Saya berharap pihak PBT juga akan mengambil inisiatif untuk menangkap anjing-anjing liar yang berlegar-legar di sekitar kawasan berpenduduk padat seperti di JalanTiong Hua dan tempat lain bagi mengelak daripada berlaku insiden yang tidak diingini,” tambahnya.

Polis kemudian menghubungi ambulans untuk membawa mangsa ke Hospital Sibu bagi mendapatkan rawatan lanjut.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan