Anggota polis mengiringi tiga anggota polis yang didakwa merogol
BUTTERWORTH – Tiga anggota polis masing-masing berpangkat konstabel dan koperal mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini semalam atas tuduhan merogol dan melakukan seks luar tabii terhadap seorang wanita warga Indonesia minggu lalu.
Konstabel Remy anak Dana, 25; Konstabel Syahiran Romli, 21, dan Koperal Nik Sin Mat Lazin, 33, didakwa merogol dan melakukan seks luar tabii ke atas mangsa berusia 25 tahun di bilik nombor 4, Berek Balai Polis Perai dekat sini antara pukul 6.40 dan 7.30 pagi 9 November lalu.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 376(1)/377C Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun, sebat dan denda.
Timbalan Pendakwa Raya, Suhaimi Ibrahim menawarkan ikat jamin sebanyak RM30,000 bagi setiap tertuduh namun dibantah peguam bela yang mewakili Remy, Anthony Samy.
Dua lagi tertuduh iaitu Syahiran dan Nik Sin diwakili peguam Parmjit Singh sementara peguam Rosli Ismail hadir sebagai peguam pemerhati mangsa.
Hakim Nabisha Ibrahim membenarkan kesemua tertuduh diikat jamin RM25,000 dan menetapkan 12 Disember ini untuk sebutan semula kes. Ketiga-tiga tertuduh membayar wang ikat jamin itu.
Mahkamah juga memerintahkan ketiga-tiga tertuduh melapor diri di balai polis berhampiran setiap awal bulan dan tidak membenarkan media menyiarkan nama dan gambar mangsa dalam mana-mana laporan.
Sementara itu, Pemangku Konsulat Indonesia di Pulau Pinang, Sofiana Mufidah yang hadir ke mahkamah memuji tindakan pantas pasukan polis menahan dan menghadapkan tertuduh ke mahkamah.
Selain media tempatan, kes itu turut menarik minat tiga media dari Indonesia iaitu MetroTV, TransTV dan TV1 yang turut membuat liputan di mahkamah tersebut.
Pada 11 November lalu, pekerja sebuah restoran mendakwa dirogol tiga anggota polis selepas ditahan di kawasan berhampiran sebuah pusat beli-belah di Perai.
Wanita berkenaan mendakwa dia dipaksa melakukan seks bersama ketiga-tiga anggota polis berkenaan sebelum dihantar pulang ke rumahnya di Alma, Bukit Mertajam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan