MIRI: Sejumlah 38 unit komputer yang dipercayai digunakan untuk menjalankan kegiatan judi atas talian (online) berjaya dirampas oleh pihak polis dalam empat serbuan di empat premis berasingan di sekitar pusat bandar ini dalam satu operasi cegah judi haram yang dilancarkan lewat petang Selasa lalu.
Dalam serbuan sama, polis turut menangkap enam pekerja di empat premis berkenaan yang masing-masingnya terdiri daripada tiga lelaki dan tiga wanita.
Turut ditahan sembilan pelanggan terdiri daripada lima wanita dan empat lelaki yang didapati sedang asyik bermain judi komputer di premis berkenaan.
Menurut sumber bertindak atas maklumat diterima, sepasukan polis daripada Cawangan D7 Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak yang diketuai Asisten Superintenden Polis (ASP) Mohd Zulkarnain telah menyerbu empat premis berkenaan yang dipercayai ada menjalankan aktiviti perjudian secara atas talian.
Operasi yang bermula dari jam 5.30 petang dan berakhir jam 9.30 malam itu turut disertai tiga lagi pegawai dan 12 anggota dari cawangan sama serta dibantu tujuh anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Miri.
Selain komputer, polis turut merampas wang tunai yang keseluruhannya berjumlah RM4,000 hasil serbuan di empat premis tersebut. Kesemua komputer yang dirampas telah dibawa ke Balai Polis Pusat Miri untuk dijadikan barang kes.
Manakala para pekerja dan pelanggan empat premis terbabit turut ditahan lanjut untuk disoal siasat berhubung kes berkenaan yang disiasat di bawah Akta Rumah Judi Terbuka (Komputer) 1953.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan