Sabtu, 17 November 2012

Bimbang Rumah Sentiasa Dimasuki Air

Ensuna bersama anaknya meredah air sedalam satu kaki

SIBU: Air pasang besar ketika musim tengkujuh pada setiap akhir tahun benar-benar meresahkan seorang ibu tunggal di Rumah John Marikan, Rantau Panjang.

Ini kerana setiap kali berlaku air pasang besar, kediaman separa konkrit miliknya akan dimasuki air, sekali gus merosakkan harta benda miliknya.

“Ini merupakan malam keempat air masuk ke dalam rumah setiap kali air pasang besar berlaku,” ujar ibu tunggal terbabit, Ensuna Ali, 43.

Menurut Ensuna, kejadian berlaku setiap hujung tahun ketika musim tengkujuh dan air pasang besar yang telah berlarutan sejak lima tahun lepas.

Katanya, kediamannya akan dimasuki air bermula bulan November dan Disember, yang kadangkala berlarutan sehingga bulan Januari.

“Semasa air pasang besar, air akan naik lebih daripada sekaki sebelum melimpah masuk ke dalam rumah. Walaupun kita bina penghadang di depan pintu, ia gagal menghalang air daripada melimpah masuk.

“Kejadian biasanya berlaku pada waktu malam dan ini menyebabkan saya terpaksa berjaga sehingga lewat malam bagi menimba keluar air dari dalam rumah serta melakukan kerja-kerja membersihkan rumah,” jelas Ensuna.

Namun, usahanya itu sia-sia kerana air akan melimpah masuk semula ke dalam rumah apabila kejadian air pasang besar berlaku semula pada malam seterusnya.

Difahamkan, kediamannya sebelum ini berlantaikan kayu, namun diganti awal tahun ini kerana lantai kayu terbabit telah buruk disebabkan sering terkena air.

Ensuna yang tinggal bersama seorang anaknya yang berusia lima tahun berkata, kejadian tahun lepas agak teruk di mana beberapa peralatan elektrik seperti mesin basuh dan peti sejuk miliknya telah rosak.

“Tahun lepas, air melimpah masuk ke dalam rumah lapan hari berturut-turut sebelum berhenti dalam masa tiga hari. Selepas itu air melimpah masuk lagi,” ujarnya yang menjalankan perniagaan runcit kecil-kecilan sebagai punca pendapatan.

Kejadian banjir terbabit difahamkan turut dihadapi oleh beberapa keluarga yang tinggal berhampiran dengan kediamannya. Mereka ialah keluarga Annita Suda James, Matthew Ali dan Seliha Nanang.

“Jika saya tahu tempat ini mudah dinaiki air, tidak mungkin saya mahu membina rumah di sini dahulu,” jelas Ensuna yang telah tinggal di rumah itu sejak lebih 10 tahun lepas.

Sementara menurut Annita yang tinggal bersama enam ahli keluarganya yang lain, kejadian itu mengakibatkan bahagian dapur rumahnya digenangi air sejak beberapa hari lepas.

Namun, katanya, kejadian tidak seburuk kejadian beberapa tahun lepas di mana paras air agak tinggi serta menjejaskan bahagian ruang tamu rumahnya.

Bagi Seliha pula, meskipun kediamanya tidak dimasuki air, namun bahagian bawah rumahnya sering digenangi air, sekali gus menyebabkan kereta serta motosikal milik keluarganya mengalami kerosakan akibat terkena air.

“Jadi setiap kali air naik, kita terpaksa memindahkan kenderaan ke kawasan yang lebih tinggi,” ujar beliau yang tinggal di rumah terbabit bersama suami serta seorang anak mereka.

Difahamkan, kesemua mangsa tidak pernah melaporkan kejadian banjir yang menimpa mereka kerana tidak tahu kepada siapa harus meminta bantuan.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan