BINTANGOR: Hasrat seorang budak perempuan, Ngu Pei Ying yang berumur 11 tahun untuk menghabiskan masa cuti sekolah bersama dengan bapanya di kem tempat bapanya bekerja tidak kesampaian.
Ini berikutan mangsa yang dilaporkan hilang pada 13 November (Selasa) telah dijumpai terapung dalam keadaan yang menyayat hati oleh penduduk setempat di kawasan Sungai Buluh, di sini pada pagi kelmarin.
Menurut ibu mangsa, Runin Budi, pada hari kejadian mangsa seperti kebiasaannya pergi bermain bersama rakan-rakannya.
“Sebelum kejadian malang itu menimpa anak saya, dia (Ngu) telah menunjukkan beberapa sikap yang berlainan seperti hari kebiasaannya.
“Ngu yang merupakan anak bongsu daripada tiga orang adik beradik (semuanya perempuan) sering marah-marah dan naik angin tanpa sebab sejak tiga hari sebelum kejadian tersebut.
“Dalam masa yang sama, Ngu yang selama ini tiap kali saya turun ke pekan Bintangor untuk membeli barang keperluan dapur akan sentiasa berpesan agar membelikannya mi dan roti, tetapi kebelakangan ini semua perkara itu tidak dipedulikannya,” kata Runin dalam nada hiba dan sebak ditemui di kediaman mereka di Jalan Bintang Utara Bintangor, semalam.
Runin memberitahu sebelum itu anaknya (Ngu) juga kelihatan ingin bermain sepuas-puasnya bersama rakan-rakannya.
“Pada hari kejadian, Ngu berdasarkan cerita daripada rakan-rakannya kerap bermain dengannya telah bermain berhampiran dengan wharf.
“Menurut cerita mereka lagi, ketika mereka leka bermain di tempat tersebut, dia telah terjatuh ke sungai dan terus hilang dibawa arus deras di Sungai Rajang.
“Pada hari kejadian, saya pergi ke sawah untuk menyiapkan kerja menanam padi kerana jika kerja terbabit sudah siap, kami berdua bercadang untuk mengikuti bapanya ke tempat kerja,” cerita Runin lagi.
Sementara itu, bapanya, Ngu Sie Chai berkata, mereka sekeluarga tidak menyangka bahawa hayat Ngu bersama dengan mereka begitu singkat.
“Apa yang lebih menyayat hati kami sekeluarga bila mayatnya dijumpai pagi kelmarin, dia hanya memakai seluar dalam sahaja.
“Beberapa bahagian badannya kelihatan lebam, khususnya di bahagian bahu dan mukanya dalam keadaan amat menyedihkan.
“Berdasarkan perancangan kami sekeluarga, mayat Ngu akan kami kebumikan pada esok hari (Sabtu) dan pada masa kini ia masih lagi ditempatkan di rumah mayat Hospital Sarikei,” ujarnya.
Mayat Ngu telah dijumpai oleh penduduk terapung berhampiran dengan kawasan Sungai Buluh iaitu lebih kurang setengah kilometer dari lokasinya dilaporkan jatuh pada pagi kelmarin, jam sekitar 9.30 pagi.
Dalam masa yang sama, beberapa orang ahli Parti Tindakan Demokratik (DAP) Cawangan Sarikei yang diketuai oleh Setiausaha DAP Sarikei, Andrew Wong dan Timbalan Setiausaha DAP Sarikei, Wong Chin King turut menziarahi mangsa dan sekali gus menghulurkan sumbangan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan