Isnin, 19 November 2012

Lubang Sampah Di Subak

Ahmad Lai Bujang

MIRI: Lubang pelupusan sampah bernilai RM22 juta yang sedang dibina di Kampung Subak dijangka akan beroperasi sepenuhnya bermula awal tahun depan.

Ahli Parlimen Sibuti, Ahmad Lai Bujang berkata kerajaan sedang membina sebuah lubang pelupusan sampah yang lebih besar berbanding yang sedia ada bagi menyelesaikan masalah bau sampah di kawasan berhampiran.

“Lubang baharu ini lebih besar dari lubang sampah yang sedia ada dan mampu menampung kapasiti sampah yang banyak daripada ketiga-tiga lubang yang dibina sebelum ini,” katanya di sini semalam.

Ahmad Lai memberitahu, lubang terbabit sepatutnya beroperasi penghujung tahun ini namun berikutan keadaan cuaca tidak menentu ketika ini terpaksa ditunda ke satu tarikh baharu.

“Sebenarnya, lubang ini sudah siap sepenuhnya dan hanya menunggu untuk beroperasi namun berikutan cuaca tidak menentu kita percaya mula beroperasi seawal-awalnya Januari tahun depan,” katanya.

Menurutnya, dengan adanya lubang baharu yang siap dibina itu maka seterusnya menyelesaikan masalah bau sampah dan pengaliran air sampah ke sungai-sungai berhampiran.

“Projek itu juga melibatkan pembinaan sebuah kolam untuk menampung sisa-sisa pepejal atau air sampah daripada mengalir terus ke sungai-sungai kampung berhampiran,” jelasnya.

Beliau berharap masalah bau busuk dan pencemaran air sungai di tapak pelupusan sampah itu akan selesai sepenuhnya apabila projek pembinaan lubang baru itu mula beroperasi kelak.

Ini merupakan tapak pelupusan sampah bagi semua kawasan Miri termasuk dari Kuala Baram, Senadin, Pujut, Bakong, Batu Niah, Sepupok dan beberapa kawasan lain.

Penduduk lima kampung kawasan Sibuti sebelum ini menderita gara-gara menghidu bau busuk dan hanyir berikutan longgokan sampah sarap yang tidak terurus di tapak pelupusan sampah Kampung Subak.

Antara kampung yang terjejas dengan masalah bau busuk termasuk Kampung Subak, Kampung Keluru Jaya, Kampung Keluru Tengah, Kampung Kejapil dan Kampung Beraya.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan