Hadapan rumah Mariam sedang dirobohkan oleh MPPP
GEORGE TOWN - Seorang warga emas hanya mampu mengalirkan air mata melihat sebahagian rumah pusaka keluarganya di Lengkok Sungai Gelugor di sini dirobohkan oleh pihak Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) pagi semalam.
Bahagian hadapan rumah Mariam Tahir, 72, yang berusia hampir 100 tahun itu diruntuhkan oleh jentolak penguat kuasa MPPP semasa dia keluar ke pasar kira-kira pukul 9.30 pagi atas alasan dibina tidak mengikut peraturan ditetapkan.
Menurut Mariam, sebaik pulang dari pasar, dia terperanjat apabila melihat pekarangan rumahnya dipenuhi anggota MPPP serta beberapa anggota polis untuk menjalankan tugas meroboh.
"Jika saya salah sekalipun, pihak MPPP sepatutnya hantar notis dahulu tetapi saya terima sekali sahaja notis (berhubung kesalahan itu) kira-kira dua tahun yang lalu dan bukannya surat untuk meroboh.
"Selepas itu saya tidak terima sebarang notis lagi, malah pagi tadi (semalam) pegawai MPPP datang dengan tangan kosong dan terus meroboh," ujarnya dengan nada sedih kepada pemberita.
Rumah papan itu merupakan harta peninggalan keluarga Mariam yang kini menjadi tempat dia dan anaknya, Haslina Hashim yang merupakan orang kelainan upaya (OKU) berteduh.
Apa yang menghairankan, bahagian hadapan rumah warga emas itu sahaja yang dirobohkan manakala rumah-rumah lain di kawasan sama yang dibina struktur tambahan langsung tidak diusik penguat kuasa MPPP.
Jelas Mariam, dia amat kecewa dengan sikap pegawai MPPP dan pemimpin kerajaan negeri yang tidak prihatin dengan nasibnya.
"Saya dah tua, anak pula OKU. Kehidupan kami bergantung dengan wang bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat," katanya.
Sementara itu, Ketua UMNO Bahagian Bukit Gelugor, Datuk Omar Fauzar kesal dengan tindakan MPPP yang dikatakan bersikap pilih kasih kerana meroboh rumah penduduk miskin.
"Banyak lagi rumah yang bina struktur baharu di bahagian hadapan atau belakang tetapi mengapa rumah ini sahaja dirobohkan. Kita mahu MPPP baiki semula kerosakan rumah warga emas itu," tegasnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan