Rabu, 14 November 2012

Terputus Bekalan Elektrik

Tiang elektrik yang patah akibat dilanggar lori

MIRI: Sekitar 300 buah keluarga terputus bekalan elektrik selama 16 jam sejak malam kelmarin, apabila sebuah lori merempuh tiang talian utama elektrik yang menyalurkan bekalan tenaga elektrik di kawasan Tudan dan Lutong.

Bagaimanapun, masalah tersebut berjaya diatasi selepas bekalan elektrik disambung semula tengah hari semalam.

Pengurus Sarawak Energy Berhad (SEB) Wilayah Utara, Yusri Safri memberitahu usaha menyambung semula bekalan tersebut terpaksa ditangguh pada malam kelmarin kerana hujan lebat yang berterusan.

“Sebahagian besar pengguna yang terjejas malam tadi (kelmarin), telah pulih bekalan elektrik dalam masa dua jam.

“Bagaimanapun, baki kira-kira 300 keluarga lagi, bekalan elektrik mereka disambung semula pada jam 12 tengah hari tadi (semalam). Kami menjangkakan masalah ini pulih sepenuhnya dalam masa sejam lagi,” kata-nya kepada Utusan Borneo di sini, semalam.

Terdahulu dalam kenyataan, Pengurus Kanan Jabatan Komunikasi Korporat SEB, Haniza A Hamid memberitahu bekalan elektrik terputus di kawasan Tudan dan Lutong selepas sebuah lori merempuh tiang voltan tinggi yang menyambungkan talian bekalan elektrik ke kediaman-kediaman di Jalan Lutong-Kuala Baram, malam kelmarin.

Dalam perkembangan berkaitan, Yusri memberitahu pihaknya amat kesal dengan beberapa syarikat dan orang awam yang masih berdegil dengan nasihat SEB supaya tidak melakukan kerja-kerja atau aktiviti berdekatan dengan tiang-tiang atau talian elektrik bagi mengelak sebarang kejadian yang tidak diingini.

“Sebagai contoh, kejadian malam tadi (kelmarin), ia adalah kecuaian yang jelas kerana mereka tahu bahawa talian SESCo ada berdekatan. Jika mereka perlu melakukan kerja-kerja di kawasan berhampiran tiang atau sumber bekalan elektrik, mereka perlu memaklumkan kepada kami terlebih dahulu.

“Ini kerana keselamatan seharusnya menjadi keutamaan bagi mereka,” jelasnya lagi.

Yusri memberitahu insiden yang berlaku walaupun hanya menelan kos beberapa ribu ringgit untuk memperbaikinya, namun kesan paling buruk ialah ia telah menyebabkan ramai pihak terpaksa berdepan dengan masalah ketiadaan bekalan elektrik.

Mengenai dakwaan oleh pelanggan termasuk seorang wanita dari Senadin bahawa SEB ‘tidak cekap’ dalam mengendalikan talian telefon kecemasan mereka, Yusri menafikan dakwaan tersebut.

“Biasanya apabila bekalan elektrik terputus, orang ramai, mungkin beratus-ratus orang, cuba menghubungi kami dalam masa yang sama dan sudah pastinya talian akan sesak dan sukar bagi sesetengah orang untuk menghubungi kami. Tetapi saya memberi jaminan setiap panggilan yang datang pasti akan dilayan,” katanya lagi.

Yusri turut menolak dakwaan bahawa kawasan Senadin sering kali berlaku putus bekalan elektrik apabila berlaku hujan lebat dan menambah bahawa rekod tidak menunjukkan kekerapan perkara tersebut.

Bagaimanapun, orang awam digesa supaya melaporkan segera kepada pihak SEB jika berlaku bekalan elektrik terputus dengan kerap di kawasan mereka supaya punca masalah boleh dikenal pasti dengan segera. - UTUSAN BORNEO


2 ulasan: