KUCHING: Sepasukan unit khas telah dibentuk untuk menyiasat kegiatan judi atas talian yang berselindung di sebalik pembukaan kafe siber di seluruh negeri.
Pesuruhjaya Polis Negeri Datuk Acryl Sani Abdullah Sani berkata, usaha tersebut penting ekoran kegiatan tersebut yang dilihat semakin berleluasa di negeri ini dan lebih membimbangkan apabila ia melibatkan pelajar sekolah dan kanak-kanak.
“Kami melihat perkara ini dengan serius, disebabkan itu kami telah melatih beberapa pegawai untuk menyiasat perkara ini terutamanya apabila ia melibatkan budak sekolah kerana kita tidak mahu mereka terjebak de-ngan kegiatan perjudian seperti ini,” katanya.
Bagaimanapun, beliau tidak menolak kemungkinan wujud kesukaran untuk pihaknya dalam membanteras kegiatan perjudian tersebut.
“Disebabkan itu, kita mahu semua pengusaha kafe siber lebih bertanggungjawab terutama untuk memastikan tidak berlaku aktiviti perjudian atas talian di premis masing-masing.
“Selain itu, kita juga mengharapkan agar pengusaha tidak membenarkan budak-budak sekolah memasuki premis mereka kerana kita semua faham, sebut sahaja Internet, pelbagai barang dapat dilakukan,” ujarnya.
Terdahulu, Acryl merasmikan Program Jom Sihat di Kompleks Perumahan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Tabuan Jaya semalam.
Sementara itu, seorang remaja berusia 15 tahun telah ditahan bersama sembilan pelanggan serta pekerja dari dua premis perjudian atas talian di Serian, kelmarin.
Kesemua yang ditahan adalah hasil operasi oleh Unit Anti Maksiat, Perjudian dan Gengsterisme (D7) dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak yang diketuai oleh ASP Mohd Zulkarnian Abdullah di Pekan Serian sekitar jam 6.15 petang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan