Rabu, 1 Ogos 2012

Bina Lampu Isyarat Di Jalan Menghala Ke Hospital Miri

Inilah Jalan Miri-Bintulu yang dimaksudkan.

MIRI: PAS Miri menggesa pihak berkuasa tempatan (PBT) mempertimbangkan untuk membina lampu isyarat di Jalan Miri-Bintulu iaitu jalan yang menghala ke Hospital Miri.

Ketua PAS Miri Jofri Jaraiee berkata kebanyakan kenderaan awam yang ingin menuju ke Hospital Miri terpaksa menunggu sehingga kenderaan lengang dari arah bertentangan sebelum dapat masuk ke Jalan Cahaya.

“Pemandu kenderaan yang hendak menuju ke Hospital Miri menghadapi kesukaran terutama pada waktu kemuncak dan kadangkala kenderaan dari arah bertentangan tidak memberi laluan kepada mereka,” katanya.

Dakwanya, ketiadaan lampu isyarat di simpang masuk ke Hospital Miri turut menyebabkan kesesakan teruk terutama pada awal pagi dan petang.

“Pemandu kenderaan terpaksa berhati-hati sebelum keluar dari simpang terbabit bahkan kenderaan yang datang dari arah bertentangan juga memandu laju dan boleh menyebabkan kemalangan,” katanya.

Sehubungan itu katanya, sekiranya lampu isyarat dibina di simpang berkenaan, masalah kesesakan akan dapat diatasi seterusnya mengurangkan kadar kemalangan di kawasan terbabit.

“Kami menggesa PBT segera memasang lampu isyarat di semua kawasan strategik atau kawasan yang boleh menyebabkan kesesakan lalu lintas,” jelasnya.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan