Sabtu, 18 Ogos 2012

Budak Mati Ditindih, Tujuh Didakwa

She Lee bersama suspek-suspek lain menyebabkan kematian anaknya, Wan Xuen 

BUTTERWORTH - Sepasang suami isteri bersama lima anggota keluarga yang lain mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini semalam terhadap pertuduhan menyebabkan kematian anak perempuan mereka dalam satu upacara pemujaan dua minggu lepas.

Chua Seng Ban, 35, dan Lim She Lee, 35, dituduh menyebabkan kematian Chua Wan Xuen, 3, dan mereka didakwa bersama-sama Chua Seng Hoo, 29, (bapa saudara mangsa), Ong Soh Guat, 67, (nenek), Loke Xin Lan, 21, (kakak), Chua Ah Luan, 40, (ibu saudara) dan seorang anak saudara lelaki mereka berusia 16 tahun.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu ketika upacara pemujaan di sebuah rumah di Taman Bukit Minyak, Bukit Tengah dekat sini pada pukul 7.20 petang hingga 10.52 malam, 5 Ogos lepas.

Bagaimanapun, pembantu rumah keluarga itu yang sebelum ini turut direman dibebas untuk menjadi saksi pendakwaan.

Kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Seng Ban dan Shee Lee turut menghadapi tuduhan tambahan iaitu mendedahkan anak mereka dengan cara yang mungkin menyebabkan dia mengalami kecederaan fizikal dalam kejadian itu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 kerana mendedahkan anak mereka kepada kecederaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun, denda RM20,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Sohaimi Ibrahim menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh selain memohon mahkamah mengenakan jaminan tambahan RM10,000 kepada pasangan suami isteri terbabit untuk tuduhan tambahan.

Bagaimanapun, peguam Ang Chua Pua yang mewakili kesemua tertuduh mengemukakan rayuan berhubung jumlah jaminan tersebut dengan alasan kesemua tertuduh yang terdiri daripada satu keluarga itu akan hadir setiap kali perbicaraan kelak.

Hakim Amernudin Ahmad membenarkan kesemua tertuduh diikat jamin RM4,000 setiap seorang dengan seorang penjamin manakala pasangan suami isteri itu dikenakan jaminan tambahan RM4,000 dan menetapkan 13 September ini untuk sebutan semula kes.

Kesemua tertuduh membayar wang jaminan itu.

Mahkamah juga membenarkan permohonan pendakwa raya untuk menghantar Ah Luan mendapatkan rawatan di Hospital Tanjung Rambutan kerana dikatakan mengalami masalah kecelaruan fikiran.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan