Sampah sarap memenuhi flat milik seorang lelaki tua yang ditemui mati
SINGAPURA - Seorang lelaki Singapura berusia 76 tahun ditemui mati di dalam flatnya yang penuh dengan timbunan sampah sarap sehingga ke siling, menurut satu laporan semalam.
Akhbar Straits Times melaporkan, lelaki berkenaan yang tinggal bersendirian gemar menyelongkar tong-tong sampah sejak sedekad lalu.
Pasukan kecemasan dilaporkan mengambil masa hampir sejam untuk membuka pintu flat berkenaan yang berkunci pada Isnin lalu selepas beberapa jirannya mengadu mereka terhidu bau busuk dari kediaman tersebut.
Menurut laporan tersebut, petugas-petugas kecemasan mengambil masa hampir sejam lagi untuk mencari mayat warga emas yang berada di celah timbunan sampah sarap di flat empat bilik itu.
Dalam perkembangan berkaitan, polis mengesahkan semalam mereka menemui mayat seorang lelaki berusia dalam lingkungan 70-an di dalam sebuah flat perumahan awam.
Menurut polis, pihaknya menyiasat kes tersebut sebagai kematian luar biasa.
Seorang jiran mangsa pula memberitahu Straits Times bahawa tabiat lelaki itu menyelongkar tong sampah bermula selepas isteri dan anak perempuannya berpindah keluar dari flat berkenaan sekitar 10 tahun lalu.
Lelaki berkenaan akan menyelongkar tong-tong sampah sekitar kawasan kediamannya dan memasukkan barangan yang dikutip ke dalam beberapa beg plastik di flatnya.
"Apabila saya tanya apa yang terdapat di dalam beg-beg itu, dia menyatakan, harta karun," ujar jiran tersebut.
Menurut jirannya, flat lelaki itu tidak mempunyai bekalan air dan elektrik manakala pintu depannya dipasang dengan beberapa mangga kunci.
Singapura memiliki populasi warga emas yang tinggi dengan semakin ramai orang tua tinggal bersendirian.
Menurut beberapa pegawai, sekitar 20 peratus rakyat Singapura akan berusia 65 tahun atau lebih tua menjelang 2030.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan