Ahad, 12 Ogos 2012

Lelaki Nyaris Maut Dalam Kebakaran


MELAKA - Seorang lelaki nyaris maut selepas terperangkap dalam kebakaran di rumahnya di Kampung Meriang, Nyalas.

K. Apoo, 44, ditemui bomba dalam keadaan terbaring dan dipercayai mengalami sesak nafas akibat terhidu asap dalam kebakaran yang memusnahkan dua bilik rumah itu.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Jasin, Tumiran Kiman berkata, pihaknya menerima pangilan pada pukul 10.14 malam dan tiba 36 minit kemudian dengan sembilan anggota dan dua jentera dari Balai Bomba Jasin dan Jasin Bestari.

"Kita mengambil masa yang lama untuk sampai ke lokasi kejadian disebabkan kesukaran mencari rumah tersebut yang berada di kawasan pedalaman," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata, pihaknya terpaksa mengumpil pintu hadapan rumah tersebut kerana berkunci sebelum mangsa yang berada di ruang tamu berjaya dikeluarkan.

Apoo kemudian dihantar ke Hospital Jasin untuk mendapat rawatan dan punca kejadian serta kerugian masih dalam siasatan, katanya.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan