MIRI: Sejumlah 3,000 liter minyak diesel subsidi bernilai RM5,400 berjaya dirampas dalam satu operasi bersepadu yang diadakan Pasukan Polis Marin (PPM) Miri bersama anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri di sini awal pagi semalam.
Selain diesel, pasukan polis terbabit yang diketuai seorang pegawai dari PPM Miri dan disertai lima anggota turut merampas sebuah lori tiga tan berwarna putih dengan bahagian belakangnya telah diubah suai sepenuhnya menjadi sebuah tangki besar untuk memuatkan diesel tersebut.
Menurut sumber, dalam operasi itu, pasukan polis terbabit telah menahan sebuah lori yang dalam keadaan mencurigakan dengan bahagian belakangnya ditutupi kanvas untuk tujuan pemeriksaan kerana disyaki menyeludup diesel subsidi.
Ketika ditahan sekitar jam 2.30 pagi di Jalan Miri-Pujut di sini, mendapati lori terbabit yang dipandu seorang lelaki berusia 30 tahun ada membawa muatan diesel berjumlah 3,000 liter dipercayai diesel subsidi.
Hasil siasatan awal mendapati lelaki terbabit tidak mempunyai permit sah yang membenarkan dia membeli diesel subsidi berkenaan.
Pada masa sama, lokasi stesen di mana suspek membeli diesel juga masih belum diketahui memandangkan tiada sebarang resit pembelian ditemui pada kenderaan terbabit.
Berikutan itu, polis telah merampas diesel dan lori berkenaan untuk dijadikan barang kes dan pemandu lori terbabit juga ditahan untuk membantu siasatan.
Dalam pada itu, kes dan kesemua barang rampasan telah diserahkan kepada pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) cawangan Miri untuk disiasat lanjut.
Sementara itu, Ketua Cawangan KPDNKK Miri, Zakaria Awang ketika dihubungi mengesahkan ada menerima kes berkenaan yang diserahkan PPM semalam.
Katanya, kes itu akan disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM15,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan