Azwan menunjukkan lokasi bapanya disambar buaya di Sungai Udin, Tawau
TAWAU – Hajat seorang ayah bagi mencari pendapatan menjelang Aidilfitri berakhir dengan tragedi apabila dia dikhuatiri maut selepas disambar seekor buaya sebelum ditarik ke dalam sungai ketika memukat udang di Sungai Udin kira-kira 50 kilometer dari sini kelmarin.
Kejadian menakutkan pada pukul 4.30 petang itu disaksikan anak mangsa, Azwan Jailani, 16, yang berdiri hanya beberapa meter daripada ayahnya, Jailani Indersaya, 54.
Cerita Azwan, sebelum kejadian, dia sedang memancing di tepi sungai manakala ayahnya pula memukat udang.
“Tiba-tiba saya nampak seekor buaya warna hitam menerkam ke arah ayah sebelum menarik ayah masuk ke dalam sungai. Saya tergamam dan tidak tahu apa yang perlu dilakukan,” katanya ketika ditemui di sini.
Bagaimanapun, menurut Azwan, selepas kelibat ayahnya hilang, dia cuba mengejar jejak buaya itu dari atas tebing sungai berdasarkan kocakan air dari tebing sungai.
“Saya takut dan sedih tapi saya cuba cari juga buaya tersebut tetapi tidak menemui ayah,” kata remaja itu.
Paling menyedihkan, Azman memberitahu, kejadian menimpa ayah berlaku hanya tiga hari sebelum umat Islam menyambut Aidilfitri.
“Buaya yang sambar ayah sangat besar dan reptilia itu hanya mengambil masa beberapa saat untuk membawa ayah ke dalam sungai,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Ibrahim Chin berkata, gerakan mencari dilancarkan bagi mengesan mangsa yang hilang.
Bagaimanapun, menurut beliau, sehingga petang semalam pasukan mencari dengan bantuan orang kampung belum menemui mangsa.
Kata beliau, selain Sungai Udin, terdapat kes manusia disambar buaya pernah berlaku di Sungai Kalumpang dan Sungai Serudong.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan