Rabu, 8 Ogos 2012

Pengedar Dadah Sasar Pekan Kecil Dan Bazar

Bazar Ramadan - Gambar Hiasan

SIBURAN: Pengedar dadah kini menyasarkan pekan kecil serta bazar untuk menjalankan aktiviti-aktiviti yang tidak bermoral itu.

Naib Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR),Voon Shiak Ni mendedahkan perkara itu semalam dengan mendakwa perhatian serius perlu diberikan kepada pekan Siburan, Tapah dan Beratok serta pekan kecil lain sepanjang Jalan Kuching-Serian, yang kini dijadikan sasaran untuk menjadi tempat pengedaran dan menjual dadah.

Beliau berkata, pihaknya telah menerima beberapa aduan serta maklumat daripada penduduk di kawasan itu mengenai aktiviti mengedar dan menjual dadah yang dilakukan di sekitar kawasan berkenaan.

Dadah yang dikenal pasti dijual ialah syabu pada harga RM10 dan RM50 masing-masing.

“Kami akan memainkan peranan kami di sini (Siburan) kerana kami menerima aduan yang sama daripada penduduk selepas isu penyalahgunaan dadah di Bau tidaak lama dahulu,” kata Voon.

Semalam, beliau bersama anggota parti lain bertemu dengan pegawai polis di balai polis Siburan untuk menyampaikan beberapa maklumat di mana aktiviti-aktiviti dadah biasanya dijalankan.

Menurut beliau, pegawai polis itu mengakui telah menerima laporan mengenai aktiviti dadah di kawasan terbabit.

“Isu (penyalahgunaan dadah) di sini (Siburan) adalah serius maka kita perlu melakukan sesuatu,” ujar Voon, sambil menambah bahawa pengedar dadah kini menggunakan jalan darat untuk mengedar pil terbabit berikutan keselamatan yang ketat di lapangan terbang.

Mesyuarat dengan pihak polis diikuti dengan mesyuarat lain bersama Pengerusi Majlis Perbandaran Padawan (MPP) Lo Khere Chiang juga membincangkan isu yang sama.

Gambaran keseluruhan yang diberikan oleh Lo menunjukkan bahawa penyalahgunaan dadah sememangnya berlaku dalam bidang kuasa MPP.

Lo mengakui terdapat beberapa kakitangan majlis yang telah menemui bukti penyalahgunaan dadah di kawasan itu.

Beliau menyebut kawasan di Haji Baki, RPR, Batu 7 dan tempat-tempat awam, di mana aktiviti menghidu gam dan alat menyuntik jarum, ditemui oleh kakitangan majlis.

Namun demikian, pihak MPP berkata perkara itu belum mencapai tahap serius dan tindakan awal menanganinya harus diambil segera.

“Orang ramai dan pemimpin masyarakat perlu membantu polis menangani masalah (dadah) ini kerana untuk menangani ancaman itu memerlukan usaha setiap orang,” katanya.

Voon bersetuju dengan Lo, berkata orang ramai boleh memberi maklumat kepada pemimpin masyarakat dalam bentuk mesej pesanan ringkas untuk disampaikan kepada pihak polis bagi tindakan segera.

“Menangani masalah dadah tidak seharusnya menjadi satu isu politik,” kata Voon, sambil menambah bahawa ancaman itu perlu ditangani bersama untuk mengelakkan kejadian yang lebih buruk berlaku.

Orang ramai boleh menghubungi Unit Peronda Polis menerusi talian 082-244444, jika mereka melihat apa sahaja perkara yang mencurigakan.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan