Keadaan kereta Perodua Kelisa dan Proton Gen 2 yang terlibat dalam kemalangan
KOTA TINGGI - Remuk hati seorang ibu apabila terpaksa menerima hakikat yang raya tahun ini bakal disambut tanpa anak bongsu lelaki di sisinya apabila kanak-kanak berusia dua tahun itu maut dalam kemalangan di Kilometer 36.5 Jalan Johor Bahru-Mersing berhampiran simpang Pasar Borong Majlis Daerah Kota Tinggi (MDKT) di sini kelmarin.
Kejadian pukul 2.15 petang itu menyebabkan Muhammad Farhan Effendy yang parah di kepala maut ketika menerima rawatan di Hospital Kota Tinggi (HKT) di sini.
Sebelum kejadian, kanak-kanak itu bersama kakaknya, Nur Farhani, 6, menaiki kereta jenis Perodua Kelisa dipandu bapanya, Effendy Juma'at, 34, untuk menghantar tempahan kuih raya ke Johor Bahru.
Turut maut dalam kejadian itu ialah, seorang guru Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Ladang Pelepas, Mohamad Azrul Baharun, 28, yang memandu kereta Proton Gen 2.
Kejadian berlaku apabila kedua-dua kereta yang datang dari arah bertentangan bertembung sebaik tiba di tempat kemalangan. Effendy dan Nur Farhani cedera parah dan kini dirawat di HKT.
Muhammad Farhan maut manakala kakaknya, Nur Farhani parah
Ibu mangsa, Norzathi Akbarillah, 31, memberitahu, dia tidak menyangka tindakan anak bongsunya yang kurang bercakap sejak akhir-akhir ini menjadi petanda yang dia akan pergi buat selama-lamanya.
"Saya reda dengan kejadian ini dan menganggap ia sebagai dugaan Tuhan buat saya menjelang 1 Syawal. Tuhan lebih menyayangi anak saya," ceritanya sambil menahan sebak.
Sementara itu, ibu Mohamad Azrul, Zaini Said, 53, memberitahu, arwah dalam perjalanan untuk mengambilnya untuk pergi ke satu majlis berbuka puasa di dewan serbaguna Felda Linggi di sini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan