Peta menunjukkan arah laluan 30 warga Filipina sebelum bot mereka dipukul Taufan Nesat
KUDAT – Kecekalan sepasukan polis yang sanggup mengharungi keganasan ombak dalam cuaca buruk dapat menyelamatkan sekumpulan 30 warga Filipina termasuk seorang kanak-kanak berusia setahun yang terdampar di Pulau Balambangan dekat sini sejak tujuh hari lalu daripada mati kebuluran kelmarin.
Bukan itu sahaja, anggota keselamatan tersebut terpaksa berjalan kaki selama satu jam untuk merentasi Bukit Lok Simpul untuk tiba ke pulau berkenaan sebelum menemui kesemua warga asing itu dalam keadaan lemah dan hampir kehabisan bekalan makanan.
Difahamkan, kesemua mereka terdampar di pulau itu sejak 28 Julai lalu apabila bot yang dinaiki bocor dan rosak akibat dipukul ombak besar sebelum kesemuanya yang masih berada di dalam perut kenderaan laut itu dihanyutkan di pulau berkenaan.
Bot mereka dipercayai dipukul saki-baki Taufan Nesat yang melanda Filipina sekarang.
Siasatan mendapati kesemua mereka yang berusia antara 1 hingga 55 tahun bukan pendatang asing tanpa izin (PATI).
Ketua Polis Daerah Kudat, Deputi Superintendan Dawi Ossen memberitahu, siasatan mendapati mereka dalam perjalanan ke Pulau Balabac dari Pulau Siminul, Tawi-Tawi, Filipina tetapi di pertengahan jalan, sebahagian bot itu pecah sebelum dihanyutkan ke Pantai Panbatu, Pulau Balambangan.
Katanya, kejadian itu berlaku ekoran bot berkenaan mengalami masalah enjin selain berdepan dengan ombak setinggi lima meter.
“Sekumpulan pasukan penyelamat dikerahkan ke pulau berkenaan sebaik kami menerima maklumat pada pukul 4.30 petang Jumaat lalu dengan menaiki dua buah bot.
“Bagaimanapun, mereka terpaksa berpatah semula akibat cuaca terlalu buruk di sepanjang perjalanan menuju ke pulau tersebut,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan