Sabtu, 18 Ogos 2012

Tiga Penumpang Bas Ekspres Maut


KINABATANGAN - Tiga penumpang maut dan tiga lagi parah dalam kemalangan jalan raya membabitkan sebuah bas ekspres di Km 121 Jalan Sandakan-Lahad Datu berhampiran Kampung Paris hari ini.

Tiga mangsa yang mati di tempat kejadian itu adalah lelaki dikenali sebagai Usman Sulaiman, 26, Jabar Maidin, 54, dan Piyan Ardian Shah Osman, 23.

Tiga penumpang yang parah dihantar menerima rawatan di Hospital Kinabatangan dan identiti mereka belum dapat dikenal pasti.

Ketua Polis Daerah Kinabatangan DSP Martin Lugu berkata kejadian berlaku kira-kira 2.50 pagi ketika bas tersebut membawa 38 penumpang bersama seorang pemandu dan dua pembantu pemandu dalam perjalanan dari Kota Kinabalu ke Tawau.

Katanya mengikut laporan awal mangsa, bas tersebut hilang kawalan lalu terbabas sebelum terbalik beberapa kali.

Bagaimanapun, penumpang lain, pemandu dan dua pembantu pemandu hanya mengalami cedera ringan di mana sebahagian daripada mereka dirawat sebagai pesakit luar di Hospital Kinabatangan dan Hospital Lahad Datu.

Beliau berkata mayat mangsa dihantar ke Hospital Kinabatangan untuk bedah siasat.

Turut berada di dalam bas itu adalah 31 pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Sepanggar Kota Kinabalu yang dalam perjalanan balik ke kampung mereka di Tawau untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Kesemua mereka hanya mengalami cedera ringan dan meneruskan perjalanan ke Tawau bersama penumpang lain yang terselamat, yang diuruskan oleh syarikat bas tersebut.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan