Isnin, 6 Ogos 2012

Tiga Perompak Mati Ditembak

Anggota polis membungkus tiga mayat perompak Indonesia yang mati ditembak 

GEORGE TOWN – Tiga perompak bergelar Geng Rimba bukan sahaja terpaksa berputih mata akibat gagal menyamun rumah mewah malah, bertambah malang apabila kesemuanya mati ditembak polis dalam kejadian di Taman Jesselton dekat Taman Perbandaran Pulau Pinang di sini semalam.

Suspek-suspek berusia lingkungan 30-an yang telah terlibat dalam 18 kes pecah rumah di Jalan Waterfall, Tanjong Tokong, Taman Jesselton dan Jelutong membabitkan kerugian keseluruhan berjumlah RM572,000 sejak awal tahun ini itu ditembak selepas cuba menyerang polis.

Kejadian pukul 3.30 pagi itu berlaku ketika trio perompak warga Indonesia tersebut diarahkan untuk menyerah diri ketika cuba memecah masuk sebuah rumah mewah di situ.

Difahamkan, niat jahat mereka terbongkar selepas penduduk ternampak kelibat mereka dalam keadaan mencurigakan ketika terhendap-hendap di belakang rumah yang disasarkan sebelum menghubungi polis.

Polis yang bergegas ke tempat kejadian kemudian terserempak dengan suspek berhampiran kawasan hutan iaitu kira-kira 200 meter dari kawasan perumahan tersebut.

Suspek kemudian bertindak agresif apabila cuba menyerang polis dengan menggunakan parang sebaik anggota keselamatan itu memperkenalkan diri sebelum dibalas dengan lebih kurang 20 das tembakan ke arah mereka.

Modus operandi mereka ialah menetap seketika di kawasan hutan dan berbukit berhampiran kediaman mewah di daerah Timur Laut negeri ini untuk mengenal pasti rumah yang ingin dirompak antara pukul 3 pagi hingga 6 pagi.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan